Kejayaan membenam Arsenal 5-1 hari ini mengekalkan rekod tanpa kalah Reds musim ini, malah mengukuhkan kedudukan mereka sebagai pendahulu liga.

"Saya bukan orang paling bijak di dunia tetapi saya juga tidaklah bodoh sangat.

"Ia tidak penting berapa banyak mata yang anda pungut pada Disember atau hujung Disember kerana liga baru memasuki separuh musim," kata Klopp.

Kekalahan mengejut 1-3 yang dialami pasukan tangga kedua, Tottenham kepada Wolverhampton di London membolehkan Reds melebarkan jurang mata.

Hatrik Roberto Firmino, selain jaringan Sadio Mane dan Mohamed Salah memastikan kemenangan Liverpool di Anfield.

Cabaran terbesar Liverpool selepas ini adalah menentang juara bertahan, Manchester City, Khamis ini.

City mampu merapatkan jurang kepada tujuh mata jika mengalahkan Southampton, awal pagi ini.

Liverpool kini memburu gelaran EPL ke-19 selepas kali terakhir muncul juara pada 1990.

"Kami boleh menikmati kedudukan hari ini tetapi dalam masa kena bersedia untuk berdepan City pada 3 Januari, selain cabaran lain yang menanti.

"Kalau kami mengalami kekalahan pertama, kamu (media) pasti akan menjadi orang pertama cakap Liverpool mula gemuruh," kata pengurus Reds itu lagi. - AGENSI