Pogba hari ini memberitahu pemberita ‘jangan sentuh Grizou saya’ dalam sidang akhbar menjelang perlawanan terakhir Kumpulan C menentang Denmark esok.

Griezmann hanya menjaringkan satu gol buat Perancis setakat ini iaitu menerusi sepakan penalti ketika mereka mengalahkan Australia 2-1 dalam aksi pembukaan.

Dia masih belum mendapat sentuhan hebat seperti yang ditunjukkan ketika menggalas cabaran Les Bleus pada Kejohanan Eropah (Euro) 2016.

“Grizou (Griezmann) bermain dengan sangat baik. Dia selalu gembira dan cergas. Dia berjuang untuk pasukan.

“Hanya kerana dia tidak menjaringkan gol dalam perlawanan terakhir tidak bermakna dia bukan Grizou yang sama.

“Ada yang kata, dia terganggu kerana baru menandatangani kontrak dengan kelabnya. Tidak, itu tidak berlaku.

“Seperti yang saya beritahu sebelum Piala Dunia, jangan sentuh Grizou saya. Kamu sudah lupakah dengan Euro? Dia wira pasukan, jadi jangan ganggu dia,” kata Pogba.

Perancis yang sudahpun mengesahkan tiket peringkat kalah mati selepas mengalahkan Peru 1-0, hanya perlu seri dengan Denmark untuk mengesahkan kedudukan selaku juara kumpulan.

Griezmann, 27, yang menandatangani kontrak lanjutan bersama Atletico Madrid minggu lalu masih belum menampilkan kemampuan sebenarnya di Rusia setakat ini.

Dia meledak enam gol ketika Perancis menamatkan kempen Euro dua tahun lalu selaku naib juara di belakang Portugal.

Sementara itu, jurulatih Perancis, Didier Deschamps dijangka menggunakan formasi 4-2-3-1, yang mana Griezmann bakal mengetuai serangan.

Dua tonggak pertahanan, Djibril Sidibe dan Samuel Umtiti bagaimanapun bergelut dengan kecederaan. – AGENSI