Laporan media Sepanyol sebelum ini menyatakan Ronaldo masih dalam proses perbincangan dengan Presiden Real, Florentino Perez, yang enggan menawarkan kenaikan gaji untuk penyerang Portugal itu.

Ronaldo, 32, kali terakhir menandatangani kontrak bersama Real pada November 2016 sehingga Jun 2021, namun dilaporkan menuntut satu lagi kontrak baru untuk memastikan gajinya setaraf Lionel Messi dan Neymar, dua pemain dengan gaji tertinggi di dunia.

Kata Sanchis, kelab itu tidak semestinya menaikkan gaji Ronaldo, malahan ia tidak berlaku ketika Alfredo Di Stefano meninggalkan pasukan itu.

“Madrid tidak semestinya menaikkan gajinya,” kata Sanchis kepada stesen radio Sepanyol, Cadena Cope.

Tambahnya lagi, jika Real Madrid kurang menyerlah pada musim ini, bermakna dia tidak perlu lagi berada dalam pasukan.

Sanchis adalah bekas pertahanan Sepanyol dan menyertai Real Madrid sepanjang kariernya telah membantu pasukan menjuarai lapan gelaran liga serta dua kejohanan antara 1983 dan 2001.

Ronaldo yang berjaya meraih anugerah kelima Ballon d’Or pada Disember 2017, hanya menjaringkan empat gol dalam La Liga musim ini sekali gus menjadi faktor utama yang mendorong kegagalan juara Eropah dan Sepanyol itu gagal mempertahankan gelaran mereka.

Real yang menduduki tangga keempat LaLiga kini ketinggalan 19 mata kepada pendahulu Barcelona manakala mengekori Atletico Madrid di tangga kedua dengan 10 mata dan Valencia, lapan mata walaupun mereka kurang satu permainan. - REUTERS