YUSOFF MAHADI

Tegasnya, sejarah penglibatan Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM sejak 2014 sudah membuktikan dan membawa masuk Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra pasti hanya mengulangi senario itu.

Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM, mengulas percubaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) untuk mencalonkan Pemangku Raja Kelantan itu dalam Kongres pemilihan persatuan ke-54 pada 14 Julai ini.

Tarikh tutup pencalonan adalah pada Jumaat ini.

Setiausaha Agung PBKL, Nokman Mustaffa yang bercakap kepada Utusan Malaysia semalam mengesahkan pihaknya telah menghadap Tengku Muhammad Fa-iz pada Sabtu lalu. Selain itu, Nokman juga mendakwa mereka turut mempertimbangkan tiga atau empat calon lain bagi kerusi No. 1 itu.

Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin difahamkan telah mendapat pencalonan majoriti ahli gabungan FAM selain sokongan Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan pada 2 April lalu untuk menggantikan Tunku Ismail yang mengumumkan peletakan jawatan pada 25 Mac.

“Kecaman peminat kerana keputusan yang kurang baik oleh pasukan kebangsaan menjadi faktor kedua-dua putera raja meletakkan jawatan Presiden FAM, bukan kerana mereka tidak mampu atau cekap mengendalikan persatuan.

“Saya harap PBKL berhati-hati dalam hal ini. Kebanyakan peme­gang taruh atau ahli gabungan sudah pun menyatakan sokongan kepada Datuk Hamidin. Exco pun menyokongnya sejajar dengan saranan Tunku Ismail,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Yusoff turut mempersoalkan me­ngapa PBKL cuba menamakan tokoh lain tetapi tidak pula mahu mengetengahkan mana-mana pemimpin mereka sendiri sebagai calon Presiden FAM.

“Mungkin mereka ada agenda baharu atau idea yang lebih baik dalam membawa perubahan yang mungkin tidak mampu kami dalam FAM sekarang lakukan, jadi kenapa perlu bawa orang lain? Kenapa tidak pemimpin PBKL sendiri yang bertanding?

“Kalau sekadar untuk pertan­dingan jawatan itu juga, apa perlunya?,” katanya yang memangku jawatan Presiden FAM sejak 2 April lalu hasil mesyuarat khas pertama Exco di Kelana Jaya, Selangor.

Ahli gabungan FAM yang berhak mengundi dalam Kongres nanti terdiri daripada 14 negeri termasuk Kuala Lumpur. Ahli gabungan lain adalah Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bola Sepak Me­layu Malaysia (PBMM), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Majlis Sukan India Malaysia (MISC) dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).

PROFIL DR. TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA

Adinda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V

Nama penuh: Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan Ismail Petra

Umur: 44 tahun

Tarikh lahir: 20 Januari 1974

Tempat lahir: Istana Kota Lama, Kota Bharu, Kelantan

Keluarga: Putera kedua daripada empat bersaudara

Pendidikan: Kedoktoran Sejarah Purba Kolej Universiti London, England

Pelantikan: Tengku Bendahara Kelantan (1989), Tengku Mahkota Kelantan (2010), Pemangku Raja Kelantan (2016) – afp