Datuk Mohd. Aini Taib, antara pengurus paling berjaya dalam sejarah Red Giants mengakui, perkembangan terkini Selangor tidak menggembirakannya dan beliau berharap kemelut dalaman FAS dapat diselesaikan sebelum Liga Malaysia 2017 bermula kerana bimbang pasukan yang bakal menanggung kesannya.

Dalam temu bual eksklusif bersama wartawan Mingguan Malaysia, Fadhilul Izmel Ishak baru-baru ini, Aini, 69, orang yang bertanggungjawab membawa Selangor merangkul kejuaraan hatrik Piala Malaysia 1995, 1996 dan 1997 berkongsi kebimbangannya mengenai situasi Red Giants dan apa yang perlu dilakukan untuk menyelamatkan badan induk itu.


MINGGUAN: Adakah Datuk terkejut serta kecewa dengan masalah yang melanda FAS ketika ini sehingga dilihat mampu menjejaskan persiapan Selangor untuk menghadapi Liga Malaysia 2017?

AINI: Saya tidak terkejut tetapi sebagai anak Selangor, peminat bola sepak dan bekas pentadbir bola sepak saya terkilan apabila perkara seperti ini berlaku. Menjadi harapan saya sepatutnya segala masalah yang dihadapi dapat dibincang dan diselesaikan dengan baik. Saya tidak terkejut sebab adakalanya saya ada dengar masalah FAS. Walaupun saya tidak lagi terlibat dalam bola sepak tetapi sedikit sebanyak perkembangan dimaklumkan ju­ga kepada saya.

Pernahkah terlintas di fikiran Datuk bahawa FAS bakal meng­hadapi masalah kewangan se­perti ini sehingga mengancam untuk menarik diri daripada Liga Malaysia memandangkan Sela­ngor adalah pasukan gergasi tempatan.

AINI: Semua pasukan berdepan masalah kewangan tetapi kalau tiada masalah dalaman, isu ini sebenarnya boleh diatasi. Maknanya sama-sama berusaha mencari penaja tapi apabila ada perbalahan dalaman ini yang memudaratkan dan saya tidak menyangka boleh sampai ke tahap ini. Kalau tiada perpecahan saya fikir mungkin ramai pihak dapat membantu. Masalah kewangan sampai bila-bila pun ada tetapi kalau berusaha mencari jalan keluar Insya-Allah dapat menyelesaikannya.

Sekiranya Datuk Seri Moha­med Azmin Ali mahu melepaskan jawatan Presiden FAS, apakah tindakan yang patut dilakukan oleh beliau memandang­kan FAS ketika ini sedang dilanda masalah.

AINI: Saya tidak mahu memberi komen kerana saya tidak tahu apa masalah yang dihadapi oleh beliau. Saya bukan Azmin dan saya tidak berada di tempatnya.

Sewaktu Selangor di bawah pimpinan Datuk, pelbagai kejayaan yang dikecapi seperti memenangi Piala Malaysia tiga kali berturut-turut. Apakah yang Se­langor perlu lakukan jika mereka mahu mengulangi kejayaan se­perti dahulu. Kongsikan resipi kejayaan Datuk.

AINI: Saya bersyukur kepada ­Allah kerana mengurniakan kejayaan bersama pasukan Selangor. Sesuatu kejayaan hanya dicapai mestilah dengan bersatu dan kerjasama daripada semua pihak. Ketika zaman saya, pasukan di­urus dengan baik dan semua pihak memberi sokongan kepada saya dari bawah hinggalah ke atas. FAS pada ketika itu memberi kepercayaan penuh kepada saya untuk memimpin dan tiada gangguan. Selebihnya, saya berserah kepada Allah, mencari pemain terbaik dan memastikan mereka dilatih dengan baik dan mempromosikan pemain. Semangat pasukan begitu mantap kerana mereka bermain bersungguh-sungguh. Ajak pemain sembahyang hajat di rumah saya sebelum final Piala Malaysia.

Apakah nasihat dan panda­ngan Datuk kepada bakal Pre­siden FAS yang seterusnya dan siapakah yang datuk fikir layak untuk mentadbir FAS?

Individu yang ingin menjadi presiden perlu mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak, ingin majukan sukan tersebut dan persatuan. Dia juga seharus­nya tidak mempunyai motif lain dan individu tersebut hendaklah diterima dan dihormati ahli persatuan yang lain. Persatuan kena mencari individu yang berwibawa, berkedudukan, mempunyai minat dan keupayaan mencari dana. Tidak mempunyai kepentingan politik. Saya tidak boleh namakan mana-mana individu kerana dikhuatiri individu tersebut tidak minat.