Terbaharu, jurulatih bawah 17 tahun Perlis, Akmal Rizal Ahmad Rakhli mengumumkan peletakan jawatan atas faktor tidak tahan dengan sikap Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) yang sehingga kini masih gagal melunaskan gaji.

Akmal Rizal berkata, dia akan menyerahkan surat peletakan jawatan selewat-lewatnya pada Selasa ini selepas lebih tiga bulan membimbing skuad bawah 17 tahun Singa Utara itu.

“Faktor utama saya meletak jawatan ialah kerana tidak dibayar gaji oleh PFA sejak 1 Disember lalu. Saya belum terima apa-apa bayaran sejak memulakan sesi kejurulatihan bersama PFA sehingga kini.

“Saya sudah tidak boleh lagi menunggu memandangkan saya ada tanggungan serta keluarga yang perlu diuruskan,” katanya di sini hari ini.

Ketika ini, Perlis berhadapan dengan kemelut bermula dengan kegagalan pihak pengurusan menunaikan janji menyelesaikan tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, diikuti dengan kegagalan melunaskan gaji pemain skuad utama dan barisan kejurulatihan.

Selepas mengharungi tiga perlawanan dalam aksi Liga Perdana, para pemain difahamkan masih belum menerima gaji dan dijangka mereka sedia angkat kaki pada bila-bila masa meninggalkan pasukan Singa Utara itu.

Sementara itu, Akmal Rizal berkata, beliau tidak nampak hala tuju jelas PFA dalam menguruskan skuad bawah 17 tahun negeri.

“Dahulu lain dan segala perancangan kelihatan berjalan lancar. Namun seolah-olah ada sesuatu yang tidak betul sedang berlaku dan setiap kali ditanya mengenai pembangunan pemain, pihak pengurusan minta saya menunggu.

“Saya harap pihak pengurusan perlu lebih teliti selepas ini dan kalau boleh ‘ukur baju di badan sendiri’ setiap kali ingin menandatangani kontrak jurulatih serta pemain,” katanya.- UTUSAN ONLINE