Skuad Harimau Malaya kini berada di tempat tercorot Kumpulan B kelayakan Piala Asia selepas dibelasah 4-1 oleh Korea Utara dalam pertemuan mereka Jumaat lalu, dan Vingada tidak sanggup dimalukan sekali lagi apabila kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi di Stadium I-Mobile, Buriram esok.

Bagaimanapun, misi skuad negara untuk meraih keputusan seri apatah lagi menang kelihatan sukar kerana beberapa pemain utama diragui kecergasan mereka.

“Proses pemulihan juga tidak seperti yang diharapkan dan saya boleh mengesahkan bahawa ada beberapa pemain yang mengalami kecederaan seperti S. Kunanlan, Fazly Mazlan dan Syamer Kutty Abba dan kemungkinan besar khidmat mereka tidak dapat digunakan.

“Safiq Rahim juga dilihat masih belum cergas sepenuhnya kerana dia telah mengharungi saingan Liga Malaysia yang panjang. Peluang untuk dia diturunkan masih 50-50 tetapi saya akui kelibatnya di tengah padang sangat penting untuk pasukan.

“Siapa yang bakal mengetuai pasukan hanya akan ditentukan pada saat akhir. Apa yang pasti, beberapa pemain muda seperti Adam Nor Azlin, Azam Abdul Azih serta Safawi Rasid akan diberi peluang nanti,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Selepas mengharungi empat perlawanan dalam peringkat kumpulan, skuad negara masih belum mampu melakar kemenangan dengan sekadar meraih satu mata.

Bagaimanapun, pengendali dari Portugal itu, masih menaruh harapan kerana secara matematik skuad negara masih berpeluang untuk layak ke pusingan akhir di Emiriah Arab Bersatu tetapi dengan syarat mereka perlu meraih mata maksimum daripada perlawanan esok dan pendahulu kumpulan Lebanon nanti.

“Kami telah meneliti beberapa kelemahan ketara yang boleh dilihat ketika perlawanan pertama. Perubahan taktikal dan strategi baharu akan ditetapkan untuk menghidupkan peluang kita bersaing dengan lebih baik dengan pemain pasukan lawan.

“Saya tidak pernah menyerah kalah sepanjang karier saya dan saya harap barisan pemain dapat membuktikan keupayaan mereka pada kali ini. Namun, sekiranya kami gagal saya percaya masa depan bola sepak Malaysia masih cerah kerana pemain muda telah menunjukkan peningkatan prestasi yang mendadak,” ujarnya.

Vingada yang telah membimbing skuad skuad Harimau Malaya sejak Mei lepas dengan menandatangani kontrak selama dua tahun berharap dapat meraih kemenangan pertama peribadinya dalam tujuh perlawanan antarabangsa esok. – UTUSAN