Anak-anak buah Guardiola akan menghitung pertemuan dengan skuad bimbingan Neil Warnock di Stadium Etihad pada 6 April ini.

Namun, selepas mereka bangkit untuk mara ke suku akhir Piala FA hasil kemenangan ke atas Swansea, Sabtu lalu, City bakal berdepan Brighton pada separuh akhir, hujung minggu berkenaan, dan ini bermakna, ketua Liga Perdana terpaksa melakukan perubahan dalam jadual perlawanan.

Liga Perdana, kemudiannya, mengumumkan bahawa pertemuan dengan Bluebirds akan diadakan pada 3 April, tidak sampai 72 jam sebelum perlawanan di Wembley.

Akhbar England, Mirror Football difahamkan bahawa Guardiola kurang berpuas hati dengan perubahan jadual pada minggu tersebut, apabila menyifatkan pasukannya bakal berdepan jadual April yang ‘gila’.

Warga Sepanyol itu bukan sahaja bimbang harapan mereka untuk memburu empat gelaran yang belum pernah berlaku sebelum ini terancam, tetapi ia turut memberi kelebihan kepada Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana.

City telahpun berdepan perlawanan yang terpaksa ditunda dan Guardiola berharap perlawanan dengan Cardiff dialihkan dalam bulan Mei.

Sebaliknya, dia kini terpaksa berdepan sama ada menurunkan skuad lemah sewaktu menentang kelab Wales itu atau pada pertemuan dengan skuad bimbingan Chris Hughton dalam separuh akhir, yang mana ia akan dilangsungkan tiga hari sebelum suku akhir pertama Liga Juara-Juara menentang Tottenham.

City telahpun menjuarai Piala Liga dan Guardiola mengintai peluang untuk menjadi bos pertama dalam bola sepak di England yang menyapu bersih kesemua trofi utama dalam satu musim.

Hujung minggu lalu, Guardiola secara terbuka membuat pengakuan bahawa jadual yang bakal diharungi City dalam bulan April sebagai ‘gila’.

“Ia memang gila, perlawanan yang akan kami harungi pada April. Sebab itu, kami perlukan semua orang. Para pemain yang terlibat memang mengagumkan. Mereka terpaksa mengekalkan tahap permainan yang sama dan pemain yang perlu meningkatkan prestasi pula, mereka terpaksa berbuat demikian, kerana kami memerlukannya.

“Semua orang perlu bermain terutama John Stones, Kevin De Bruyne dan Benjamin Mendy. Kami perlukan semua pemain yang ada,” katanya.

City kini ketinggalan dua mata di belakang skuad bimbingan Jurgen Klopp dalam carta Liga Perdana Inggeris, tetapi mereka memiliki kelebihan satu perlawanan di tangan. - AGENSI