Itu tegas pengendali PKNS FC, Datuk K. Rajagopal susulan pasukannya tewas 1-3 ditangan Johor Darul Takzim (JDT) pada aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos, Larkin di sini malam tadi.

Rajagopal berkata, perkara itu bukan sahaja dialami pasukannya malah membabitkan pasukan lain yang rata-rata terpaksa membuat persiapan yang singkat dalam menghadapi saingan liga.

"Persoalannya adakah kekuatan yang mencukupi dalam pasukan. Jika kekuatan yang mencukupi maka tidak perlu risau tetapi jika tidak cukup kekuatan dalam pasukan, kena fikirlah bagaimana mahu kekalkan momentum.

"Setiap perlawanan yang diharungi pasti berdepan dengan pasukan yang kuat, oleh itu persiapan yang mencukupi amat perlu dan saya anggap semua pasukan berdepan situasi yang sukar apabila berdepan jadual perlawanan yang padat," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan tamat.

Ditanya mengenai kekalahan kepada JDT selepas menang 1-0 pada pusingan ketiga Piala FA, Selasa lalu, Rajagobal menepiskan tanggapan barisan pemainnya beraksi di bawah keupayaan sebenar sebaliknya berjaya mempamerkan corak permainan yang lebih baik berbanding aksi Piala FA.

Jelas bekas pengendali skuad kebangsaan itu, tiada kekurangan dalam pasukannya walaupun tewas dalam perlawanan itu malah beliau menambah jika mahu membuat kesimpulan barisan pemain yang diturunkan beraksi lebih menarik berbanding ketika menewaskan JDT pada Piala FA.

"Momentum pemain saya hilang selepas pasukan kita dibolosi dua gol pada awal perlawanan dan ini sekali gus menjejaskan rentak permainan.

"Namun, dalam separuh masa kedua, corak permainan kami berbeza apabila memberi tekanan kepada JDT dan berjaya merapatkan jurang gol dan hasil gol itu kami terus berusaha dan mungkin boleh jaringkan gol penyamaan," katanya.

Rajagopal berkata, gol ketiga JDT menjejaskan usaha PKNS untuk bangkit dan terpaksa menerima kekalahan.