Dengan memberi amaran bahawa bola sepak Inggeris sedang berada dalam bahaya, pengendali dari Sepanyol itu menegaskan jadual yang padat boleh menyebabkan pemain mengalami kecederaan kerana tidak mendapat rehat secukupnya.

Contoh terbaharu membabitkan pemain pertahanannya Kyle Walker yang menjadi pemain keempat ditimpa kecederaan selepas John Stone, Kevin De Bruy­ne dan Gabriel Jesus. Walker dilihat terhincut-hincut keluar padang sebaik sahaja City menewaskan Watford 3-1 awal pagi ini.

Minggu ini sahaja pemain terpaksa bermain dua perlawanan dalam tempoh 48 jam dan ke­seluruhannya empat perlawanan dalam tempoh 11 hari. Jadual ketat itu menyebabkan Jesus mengalami kecederaan ligamen lutut kiri dan terpaksa berehat enam minggu.

“Kini kami kena periksa pula keadaan Kyle kerana dia mungkin mengalami masalah. Namun jika apa yang dilihat, minggu lalu sahaja berapa ramai pemain yang cedera. Kita seperti mahu membunuh mereka,” tegas Guardiola.

Sehubungan itu dia mahu Persekutuan Bola Sepak Inggeris mengambil tindakan tertentu kerana jadual ketat ini sesuatu yang tidak normal untuk dilakukan.

“Tidak sepatutnya bermain pada 31 Disember dan dua hari selepas itu. Saya faham perlawanan perlu diteruskan tetapi ini bukan sesuatu yang normal. Pihak berkuasa bola sepak di England perlu mengawalnya.

“Mereka langsung tidak melindungi pemain sebaliknya hanya mahu datang menjadi sebahagian penonton bagi mengisi masa cuti mereka. Memang di England, pemain tidak dilindungi tetapi dalam waktu sama perlu mencari pemain berkualiti bukan kuantiti,” tambahnya yang kini menyertai deretan pengurus yang pernah merungut perkara yang sama. – AFP