Tidak pernah dalam sejarah bola sepak Itali sejak 1958 mereka gagal beraksi dalam kejohanan berprestij itu, namun skuad Azzurri yang memegang reputasi selaku juara dunia empat kali terpaksa menerima hakikat pahit itu gara-gara kekalahan 0-1 di Solna, minggu lalu.

Kegagalan itu juga menyaksikan tugas Gian Piero Ventura sebagai jurulatih kini tiba di penghujung, manakala penjaga gol legenda yang juga ketua pasukan Gianluigi Buffon mengumumkan persaraan dari pentas antarabangsa.

Menguasai sebahagian besar perlawanan di Stadium San Siro, usaha Itali untuk menembusi gawang Sweden bagaimanapun dinafikan oleh ketangkasan penjaga gol Robin Olsen, terutama pada separuh masa pertama.

Benteng pertahanan Sweden yang kukuh juga membantu negara itu melayakkan diri ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2006.

Sebaik sahaja wisel penamat dibunyikan, pemain-pemain Sweden berlari mengelilingi padang, menari dan menyanyi untuk meraikan kejayaan mereka tanpa mempedulikan ribuan penyokong Itali yang memenuhi San Siro menyaksikan gelagat mereka dari tempat duduk penonton.

“Saya menangis kerana ter­kenangkan pemain-pemain kami yang sudah berusia dan mendapat peluang terakhir untuk beraksi dalam Piala Dunia. Kami berjaya melakukannya dan amat menakjubkan,” kata jurulatih Sweden, Jan Andersson.

Kali terakhir Sweden beraksi dalam Piala Dunia ialah 11 tahun lalu di Jerman dan sudah tentu orang yang paling gembira adalah ketua pasukan Andreas Granqvist yang menjadi tonggak di bahagian benteng sehingga berjaya mengekang Itali daripada menjaringkan gol dalam kedua-dua playoff.

“Pada saya ini adalah perkara paling besar berlaku dalam hidup saya. Buat pemain yang sudah berusia seperti saya, ini mungkin peluang terakhir untuk kami bermain dalam Piala Dunia sebelum bersara.

“Dengan mengambil kira semua ini, menjadikan kejayaan ini paling menyeronokkan pernah kami raih,” kata Granqvist yang sudah berusia 32 tahun.

Dengan keputusan itu, kini hanya tiga lagi tempat untuk diisi bagi melengkapkan senarai 32 pasukan yang akan bertanding dalam Piala Dunia di Rusia tahun depan. – REUTERS