Biarpun kaunter tiket hanya dibuka pada pukul 11 pagi, ribuan penyokong dilihat telah beratur panjang bagi memastikan mereka tidak terlepas menonton perlawanan membabitkan Malaysia dan Thailand.

Namun menjelang tengah hari, berlaku beberapa kekecohan akibat rempuhan sehinggakan memaksa salah sebuah daripada kaunter tiket terpaksa ditutup.

Keadaan ini secara tidak langsung mencetuskan kemarahan penyokong yang beratur panjang semata-mata bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir ibu segala emas Sukan SEA 2017.

Tular di media sosial bahawa sebanyak 50,000 tiket sahaja yang dijual kepada penyokong Malaysia sementara selebihnya diagihkan kepada penyokong lawan, penaja dan sebagainya sehingga menyebabkan ramai penyokong kempunan menyaksikan aksi akhir menentang Thailand.

Isu penjualan tiket sebenarnya menampakkan kepincangan sejak awal lagi ketika menentang Brunei apabila rata-rata penyokong berang dengan tempoh waktu jualan, pemeriksaan tiket dan tubuh di dalam kawasan stadium.

Perkara itu terus berlarutan sehingga ke perlawanan akhir apabila ribuan penyokong terpaksa meredah cuaca panas semata-mata untuk membeli tiket tetapi pulang hampa selepas dimaklumkan tiket habis dijual.

Belum pun reda isu itu, terdapat beberapa individu yang membeli tiket secara 'pukal' tampil di media sosial menjual tiket mereka pada harga sekurang-kurangnya tiga kali ganda daripada harga asal dan terdapat juga tiket dijual dengan nilai RM150 sekeping.

Kehadiran 'ulat tiket' ini sudah pastu menjadi pengacau kepada penyokong untuk mendapatkan tiket semata-mata untuk mengaut keuntungan mudah daripada kelemahan sistem sedia ada.

Perkara itu nyata memberikan imej buruk terhadap mutu penganjuran Sukan SEA 2017 sementara 'pemain ke-12' negara, Ultras Malaya hari ini mengumumkan mereka tidak akan berkumpul di 'curva' malam esok menzahirkan solidariti terhadap penyokong yang gagal mndapatkan tiket.

"Ultras Malaya tidak akan membuka 'curva' untuk perlawanan akhir esok sebagai tanda solidariti buat komrad dan juga penyokong lain yang telah bersusah payah, berhempas pulas untuk mendapatkan tiket tetapi tidak dapat memperolehinya kerana kelemahan sistem penjualan tiket pihak penganjur.

"Kepada barisan pemain negara, teruskan kecemerlangan, kekalkan semangat anda untuk perlawanan esok, semangat kami terus bersama dalam jiwa anda setiap pemain dan barisan pegawai pasukan. Ayuh, Malaysiaku!," kata gerakan itu di dalam Facebook mereka hari ini.

Sehingga ke saat ini, kebanyakan penyokong tegar bola sepak tempatan masih mencari jika ada sebarang peluang mereka membeli tiket menyaksikan perlawanan akhir, malam esok.

Penyelesaian segera diperlukan apatah lagi Stadium Shah Alam yang mampu menampung kira-kira 80,000 penonton pada satu-satu masa perlu dipenuhkan bagi memastikan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee menerima sokongan sepatutnya. - UTUSAN ONLINE