Mokhtar berkata, pada ketika ini, beliau tidak boleh membuat sebarang keputusan atau memberi jawapan ke­rana isu tuntutan gaji selama 13 bulan serta surat pemecatan rasmi Zainal itu agak rumit dan harus dibincangkan dalam Mesyuarat Exco FAS.

“Mengenai status (tuntutan Zai­nal), mungkin akan dibawa ke Mesyu­arat Exco FAS yang dijangka berlangsung pada minggu depan.

“Apa-apa perkara yang rumit haruslah dibincangkan dalam mesyuarat kerana kami mahu meredakan keadaan. Saya tidak boleh memberikan jawapan ke­rana perkara ini harus dibincangkan bersama ahli-ahli Exco FAS yang lain,” katanya.

Semalam, Utusan Malaysia melaporkan Zainal menuntut badan induk bola sepak negeri Selangor itu melunaskan baki gaji kontrak yang sepatutnya berakhir pada November ini selepas jurulatih tersebut dipecat sejurus kekalahan 0-1 di tangan Kedah dalam aksi Liga Super, 6 Ogos lalu.

Jelas Zainal, dia berdepan situasi ‘digantung tak bertali’ dan masih belum menerima surat rasmi pemecatan daripada FAS biarpun mengetahui dirinya telah dipecat menerusi laman sosial Facebook milik bekas pengurus, Amirudin Shari

Bekas pemain kebangsaan itu menerima bayaran gaji terakhir­nya pada Oktober lalu dan dia berasakan dirinya perlu tampil untuk menuntut keadilan.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Presiden FAS, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Amirudin menjadi individu bertanggungjawab untuk menyelesaikan tuntutan Zainal, Mokhtar lebih selesa mengambil pendekatan enggan mengulas persoalan tersebut.

“Saya tidak boleh komen mengenai hal itu. Ini kerana kami tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan. FAS berusaha untuk mencari jalan penyelesaian, bukannya mahu menambahkan lagi masalah,” jelasnya.