Dia mengakui sebagai manusia biasa, emosi pemain sudah tentu terganggu apabila berdepan masalah gaji sehingga menjejaskan tumpuan.

“Secara jujur, kita adalah manusia, (apabila mengalami masalah gaji) perasaan (terganggu) itu mesti ada.

“Apabila emosi terganggu, adalah sukar untuk perbetulkannya,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan di Stadium Perak semalam.

Perak mendahului dua gol pada babak pertama menerusi jaringan Hakim Hassan (minit 16) dan Wander Luiz (minit 42) dan menambah tiga lagi gol selepas rehat menerusi Gilmar Jose Da Silva (minit 73), Muhammad Firdaus Saiyadi (minit 75) dan penalti yang disempurnakan Leandro Dos Santos pada minit ke-90.

Begitupun, Jelius enggan menyerah kalah lebih awal sebaliknya akan memberi motivasi kepada pemain untuk memulihkan semangat mereka bagi menghadapi separuh akhir kedua di laman sendiri pada 21 Oktober ini.

“Saya masih mempunyai tempoh masa dua minggu untuk mempersiapkan pasukan sebelum separuh akhir kedua di Likas,” katanya. - UTUSAN ONLINE