Peminat lelaki dan wanita memenuhi jalan-jalan di Tehran serta bandar-bandar lain, sejurus selepas Iran mengesahkan tiket dengan menumpaskan Uzbekistan 2-0 dalam aksi kelayakan.

Presiden Iran, Hassan Rouhani turut menyertai sambutan tersebut dengan memuat naik status di Twitter: “Tahniah kepada negara dan skuad kebangsaan kita kerana melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 di Rusia. Anda membanggakan kami”.

Sambutan itu hadir tidak lama selepas negara tersebut menerima mesej audio daripada jurucakap kumpulan pengganas, yang menyeru pengikut mereka agar melancarkan serangan beberapa negara, termasuk Iran pada bulan Ramadan.

Kumpulan militan Daesh melancarkan serangan berkembar di Tehran pada Rabu lalu yang membunuh 17 orang.

“Siapa peduli tentang ancaman Daesh ?....Kami rakyat Iran, tiada siapa boleh kalahkan kami.

“Iran, Iran, kami sayangkan anda. Ini adalah hari terbaik dalam hidup saya, kami berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia. Terima kasih wira-wira kami,” kata peminat remaja berusia 19 tahun, Mohammadreza Salami ketika ditemui di Dataran Tajrish di Tehran.

Iran, juara Asia tiga kali muncul pasukan kedua selepas juara lima kali, Brazil berjaya melayakkan diri ke pusingan akhir Piala Dunia 2018, sekali gus bakal membuat penampilan kelima dalam kejohanan 32 pasukan itu. - REUTERS