Pioli mengambil alih tugas daripada jurulatih dari Belanda, Frank De Boer dengan mensasarkan layak ke Liga Juara-juara, namun tidak tercapai malah mereka turut bergelut untuk melayakkan diri ke Liga Europa musim depan.

“Diumumkan bahawa ketua jurulatih Stefano Pioli bersama kakitangan kejurulatihannya dipecat.

“Terima kasih kepada Stefano dan pasukannya atas dedikasi dan kerja keras yang dilakukan untuk tempoh lebih enam bulan dan bersaing dalam musim sukar ini,” ujar Inter dalam kenyataan.

Berita tersebut diketahui beberapa minit selepas juara bertahan Serie A Juventus mengesahkan diri ke perlawanan akhir Liga Juara-juara selepas membenam Monaco 2-1 dalam separuh akhir kedua, dan 4-1 menerusi agregat.

Pada ketika Juventus meraikan kejayaannya dalam kejohanan berprestij Eropah itu dalam usaha mengejar kejuaraan treble di samping Piala Itali dan Serie A, Inter pula terpaksa merangka semula masa depannya.

“Inter sekarang akan merangka rancangan bagi mengharungi musim baharu,” tambah kenyataan tersebut.

Untuk rekod, kali terakhir Inter memenangi Liga Juara-juara pada 2010 di bawah bimbingan Jose Mourinho, yang turut merangkul kejuaraan treble bersama kelab itu. – AFP