Menjelang aksi dramatik Reds menentang Barcelona dalam Liga Juara-Juara, Klopp yang merupakan peminat setia sukan musim sejuk, telah ditemubual oleh Bjoerndalen, seorang legenda sukan ski merentas desa.

Klopp mengikuti perkembangan pemenang lapan kali pingat emas Sukan Olimpik musim sejuk itu sejak 1990 dan menyamakan pengalaman bertemu Bjoerndalen seperti bersua muka dengan legenda tinju, Muhammad Ali.

Bjoerndalen begitu berminat untuk bertanya kepada Klopp tentang rakan senegaranya Solskjaer, terutama mengenai rasa kagum bos United tersebut terhadap gaya permainan yang diterapkan warga Jerman itu sewaktu dia masih jurulatih Molde.

Menyedari tentang persaingan antara dua kelab yang bermusuh itu, Klopp berusaha untuk keluar daripada soalan tersebut, tetapi Bjoerndalen enggan membiarkan pertanyaannya mati begitu sahaja, sehingga menyebabkan bos Liverpool itu tergelak besar.

Di bawah ini disertakan perbualan antara Klopp dan Bjoerndalen yang disiarkan di rangkaian televisyen TV2:

OEB: Saya mahu bertanya kepada anda tentang Solskjaer.

JK: Ole Gunnar!

OEB: Ole Gunnar Solskjaer, yep. Saya rasa dia begitu meminati anda.

JK: Anda tak boleh berkata begitu (ketawa). Cut!

OEB: Saya pun fikir begitu.

JK: Kami tak boleh berbuat demikian!

OEB: Ya, ya. Dia pernah berkata sekali: “Saya pernah mengikuti perkembangan Klopp di Dortmund dan falsafah bola sepaknya adalah sesuatu yang kami mahu terapkan, terutama kelajuan dan kesungguhan sewaktu melakukan serangan.”

JK: Dia Manchester United! Dia tidak boleh kata yang dia meminati pengurus Liverpool.

OEB: Tetapi dia memang pernah berhasrat untuk menjadi seperti Jurgen?

JK: Okay, oh yeah, semakin bagus. Ya tuhanku. Anda perlu fikirkan mengenainya, jika anda benar-benar mahu menyiarkan komen ini, saya memang pernah bertemu dengan dia (Solskjaer), sewaktu dia di Molde.

OEB: Bila anda bertemu dengannya?

JK: Sebenarnya, kira-kira setahun atau setahun setengah yang lalu, kalau tak silap saya sewaktu kami di Marbella.

OEB: Boleh anda ingat tentang gambar ini? (menunjukkan gambar Klopp dan Solskjaer bersama)

JK: Ya, saya pernah bertemu dengan dia. Kami berada di sana kerana perlawanan menentang Porto di Marbella.

OEB: Tetapi dia benar-benar meminat gaya permainan yang diterapkan anda dan dia mahu meniru anda.

JK: (Ketawa) Anda tak boleh berkata begitu!

OEB: Tetapi, jika dia mahu meniru anda...

JK: (Ketawa)

OEB: Tetapi adakah anda fikir dia boleh menjadi lebih bagus daripada anda jika dia meniru anda?

JK: Tidak, tidak, semua yang kita lakukan bagus. Kita semua mendapat sumber inspirasi dari luar sana. - AGENSI