Beraksi kali pertama di pentas Liga Super, pemain import Terengganu, Francis Forkey Doe dan Erison Da Silva Santos Carnieto membuktikan mereka tidak mempunyai masalah untuk membentuk keserasian bersama pemain lain ketika berhadapan dengan Sarawak di Stadium Negeri kelmarin.

Malah Francis, pemain kelahiran Liberia muncul sebagai wira apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-37 memastikan skuad Penyu membawa pulang tiga mata berharga hasil kemenangan 1-0 ke atas Sarawak.

Berpunca daripada hantaran lintang Ashari Samsudin, Francis mudah melepasi kawalan empat pertahanan Sarawak sebelum melakukan rembatan kencang di hadapan pintu gol.

Jurulatih Mat Zan Mat Aris ketika ditemui berkata, dua pemain berkenaan memberi impak tersendiri terhadap skuad bimbingannya pada perlawanan tersebut setelah Terengganu sebelum ini mengharungi dua perlawanan tanpa pemain import.

Bagaimanapun katanya, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi memastikan keserasian antara pemain dapat diperkukuhkan sekali gus membentuk persefahaman dan corak permainan yang lebih teratur.

"Mereka berdua masih di peringkat menyesuaikan diri namun saya yakin kita tidak memerlukan masa yang lama untuk mencipta keserasian itu," katanya.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Robert Alberts mengakui perbezaan pengalaman menjadikan Terengganu lebih tenang menyerap setiap asakan bertali arus skuad bimbingannya sebelum mengatur gerakan balas.

"Secara keseluruhan, saya berpuas hati dengan persembahan pemain apabila kita banyak mencipta peluang, namun ketumpulan jentera serangan sedikit mengecewakan," katanya.