Perlawanan ini juga mungkin paling layak digelar antara perlawanan 'klasik' Piala Dunia yang didambakan peminat bola sepak. Apa tidaknya, jika dilihat di atas kertas, kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang dengan ramai pemain yang boleh dikategorikan sebagai bintang.

Kedua-dua pasukan bermula dengan amat baik, menampilkan permainan yang terbuka dan saling berbalas serangan. Perancangan Roberto Martinez meletakkan wira semasa perlawanan menentang Jepun iaitu Maroune Fellaini dan Nacer Chadli di bahagian tengah untuk mengacau momentum Brazil juga dilihat berjaya.

Ketiadaan Casemiro akibat penggantungan dan digantikan dengan Fernandinho amat dirasai Brazil apabila pemain Manchester City itu kerap 'hilang' dan tidak berada di posisi yang sepatutnya semasa bertahan.

Itu dapat dilihat semasa gol pertama Belgium menerusi gol sendiri Fernandinho akibat daripada sepakan sudut. Serangan Belgium sebelum itu sepatutnya boleh dipatahkan jika Fernandinho berada pada kedudukannya sebagai pemain tengah bertahan.

Gol kedua Belgium hasil jaringan cantik Kevin De Bruyne juga sepatutnya boleh dipatahkan, namun disebabkan transisi pantas De Rode Duivels untuk menyerang balas ditambah pula kekuatan Romelu Lukaku mengawal bola menambah luka Selecao.

Taktikal Belgium yang bijak bertahan sebagai satu unit juga berjaya menggagalkan pemain-pemain Brazil untuk memecah masuk kotak penalti hinggakan beberapa kali terpaksa melakukan rembatan jauh terutamanya menerusi Neymar dan Phillipe Coutinho untuk menguji Thibaut Courtois.

Walaupun menguasai sepenuhnya separuh masa kedua di samping menukar taktikal dengan kemasukan Roberto Firmino, Douglas Costa dan Renato Augusto, Brazil hanya mampu menghasilkan satu gol sahaja.

Bintang Paris Saint-Germain, Neymar juga agak tenggelam walaupun cuba menggerakkan beberapa serangan disebabkan dikawal ketat oleh rakan sekelabnya, Thomas Meunier.

Apa yang diingati peminat bolasepak seluruh dunia mengenai Neymar pada perlawanan ini mungkin hanya aksi 'lakonan terjun' yang seolah-olah sudah sebati dengan dirinya.

Brazil nampaknya terus kempunan untuk menambah koleksi trofi Piala Dunia yang kali terakhir didakap pada tahun 2002.

Bagi Belgium pula, kemenangan ke atas Selecao ini tentunya memberi suntikan semangat ketika menentang Perancis dalam saingan separuh akhir nanti, pasukan yang kali terakhir ditemui semasa penentuan tempat ketiga/keempat dalam Piala Dunia 1986 yang memihak kepada Les Blues.

Mungkin skuad Generasi Emas alaf baharu yang dipimpin oleh Eden Hazard ini mampu mengatasi pencapaian senior-senior hebat seperti Enzo Scifo dan Jan Ceulemans sekali gus menjadi Juara Dunia buat pertama kali dalam sejarah Belgium. - UTUSAN ONLINE