“Penyokong Barca, saya di sini sekarang. Satu impian yang menjadi kenyataan! Saya harap dapat bertemu anda semua esok (dalam majlis memperkenalkan bintang itu secara rasmi),” katanya menerusi satu video pendek yang dikeluarkan oleh Barcelona.

Pemain berusia 26 tahun itu hari ini tampil diperkenalkan secara rasmi selepas Barcelona mengesahkan pembelian bernilai 160 juta euro (RM769 juta) sehari sebelum itu.

Coutinho muncul pemain ketiga termahal dunia, dengan Neymar mendahului kedudukan tersebut setelah dibeli Paris Saint Germain (PSG) dari Barcelona dengan harga 222 juta euro (RM1.06 bilion), dan kelab gergasi Perancis itu turut mendapat penyerang Perancis, Kylian Mbappe dengan kontrak bernilai 180 juta euro (RM865.5 juta).

“Sekarang saya ingin beraksi, memenangi piala dan menggembirakan penyokong. Itu adalah objektif saya,” kata Coutinho kepada Barca TV.

Bintang Brazil itu bersetuju dengan perjanjian kontrak sehingga 2023 di Camp Nou dan bersedia mengisi posisi serangan bersama Lionel Messi dan Luis Suarez, selain pemain tengah Andres Iniesta, yang disifatkan sebagai idolanya.

Countinho pernah bermain bersama Suarez selama 18 bulan di Liverpool, sebelum pemain kebangsaan Uruguay itu berpindah ke Barca pada 2014.

“Semua orang tahu tentang kualitinya. Dia telah mempamerkan keupayaannya di tahap tertinggi dan ia adalah elemen penting.

“Sekarang, kami perlu memastikan dia selasa di tempat baharu kerana kami tahu perpindahan merupakan satu tempoh yang sukar, namun saya rasa dia merupakan pemain yang cepat menyesuaikan diri dengan pasukan baharu,” kata Suarez kepada Barca TV berhubung ketibaan Coutinho.- AFP