Tanpa berselindung, Jason menegaskan Iflix yang menjadi penyiar rasmi Liga Super musim inikekal menjadi salah satu penaja kepada penganjur Liga Malaysia (Liga M) itu.

Semalam, MFL telah mengumumkan penamatan kontrak penajaan bersama Telekom Malaysia Berhad (TM) yang sebelum ini menandatangani kontrak perjanjian selama lapan tahun pada 29 Januari tahun lalu.

Meskipun TM tidak lagi bersama MFL, Jason tetap memberikan jaminan kepada semua pihak khususnya penyokong bola sepak tempatan bahawa Iflix sentiasa berdiri teguh untuk memberikan sokongan kepada MFL pada musim ini.

“Kita percaya bola sepak bukan sahaja milik rakyat Malaysia tetapi ia adalah hak kepada penyokong untuk menikmati sukan ini yang diangkat menjadi sukan nombor satu dalam negara ini.

“Jadi kami ingin menjelaskan dan memastikan kepada peminat bahawa Iflix sentiasa memberikan sokongan kepada bola sepak, akan sentiasa terus melabur dalam bola sepak tempatan dan kami memastikan tidak kira apa yang akan berlaku, kami Iflix memastikan semua peminat masih dapat menonton di Iflix yang menjadi rakan penyiar rasmi.

“Kami sebenarnya sangat gembira dengan perkembangan syarikat kami sendiri sejak bekerjasama dengan MFL. Jadi, kepada peminat di luar sana kami turut meminati sukan bola sepak seperti kamu dan kami akan memastikan Iflix sentiasa berada di sisi,” katanya. - UTUSAN ONLINE