Penyerang berusia 37 tahun itu, pernah mewakili beberapa kelab Eropah ternama sebelum menyertai pasukan Liga Bola Sepak Utama (MLS), LA Galaxy, Mac lalu, tetapi dia tidak pernah merasai menjulang trofi Liga Juara-Juara.

PSG pernah mendapatkan khidmat Ibrahimovic selama empat tahun sebelum dia menyertai United pada musim panas 2016 dan bintang antarabangsa Sweden itu menegaskan, tiada alasan peribadi apabila diminta memilih pasukan yang mampu melepasi peringkat 16 terbaik.

Bagaimanapun, PSG dijangka menerima tentangan sengit dalam kedua-dua aksi timbal balik baik di Old Trafford mahupun di Parc des Princes.

“PSG beraksi menentang sebuah pasukan yang pada ketika ini berada pada prestasi terbaik mereka. Apa sahaja boleh berlaku, tanpa mengira pasukan mana yang bakal ditentang United. Jika anda bertanya saya sebelum mereka mencapai prestasi pada ketika ini, saya katakan PSG pilihan saya, tetapi sekarang agak sukar.

“Tetapi saya rasa PSG memiliki sedikit kelebihan kerana pemain-pemain yang mereka ada, tetapi sesiapa sahaja yang menang, saya juga pemenangnya. Siapa sahaja yang layak, saya masih memiliki pasukan saya dalam Liga Juara-Juara. Saya tidak kisah siapa antara dua pasukan ini yang akan layak,” kata Ibrahimovic. - AGENSI