Jawatankuasa Disiplin Liga Bola Sepak Utama (MLS) mengumumkan dalam satu kenyataan mendakwa Ibrahimovic berkelakuan ganas ketika insiden yang berlaku pada minit ke-86 perlawanan yang berlangsung 11 Mei lalu.

Ibrahimovic dan Johnson kedua-dua rebah di atas padang selepas dilihat bergelut antara satu sama lain.

Kedua-dua pemain dilayangkan kad kuning berikutan kejadian itu. Johnson kemudian mendakwa Ibrahimovic tidak dapat mengawal kelakuannya.

“Zlatan (Ibrahimovic) adalah pemain berbakat, dia jelas sekali tahu apa yang dilakukannya dan seorang yang bijak. Anda tahu ia adalah sebahagian daripada permainan.

“Saya juga akan kecewa jika saya sebagai dia,” kata Johnson.

Ia adalah kejadian kedua membabitkan kelakuan Ibrahimovic sejak minggu lalu.

Dia didenda dengan jumlah yang tidak diumumkan pada 10 Mei selepas didapati bersalah kerana dengan sengaja menjatuhkan badan ketika kekalahan pasukannya kepada Columbus Crew.

Ibrahimovic juga didakwa terbabit dalam pertengkaran mulut di atas padang dengan pemain pasukan Real Salt Lake, Nedum Onuoha bulan lalu.

Ekoran pertengkaran itu, Onuoha mendakwa dia menerima ugutan daripada Ibrahimovic akan dicederakan namun pemain tersebut memohon maaf selepas perlawanan. - AFP