Kata Mueller, Bayern ibarat beraksi dengan 10 pemain menentang 14 kerana bukan sahaja kehilangan seorang pemain akibat layangan kad merah yang diterima Arturo Vidal, malah menyaksikan dua gol Real yang diperoleh dalam kedudukan ofsaid dibenarkan oleh pengadil.

Bayern mendahului 2-1 selepas 90 minit, sekali gus mengheret permainan ke masa tambahan selepas tewas menerusi jaringan yang sama di Allianz Arena minggu lalu.

Begitupun, dua jaringan yang disempurnakan Real pada masa tambahan menyebabkan juara Eropah lima kali itu pulang hampa.

Perlawanan itu dibayangi oleh beberapa keputusan pengadil yang boleh dipersoalkan, termasuk ketika Kassai melayangkan kad kuning kedua ke atas Vidal biarpun dia melakukan terjahan yang bersih manakala dua gol Cristiano Ronaldo disempurnakan dalam posisi ofsaid.

“Kami mungkin tidak menunjukkan persembahan sempurna, namun kami beraksi seperti ‘lelaki sebenar’ di atas padang.

“Kalau anda lihat bagaimana keadaan berlaku, ia sangat sukar kerana anda ibarat beraksi dengan 10 pemain menentang 14. Kedudukan 2-2 sangat teruk, pembantu pengadil melihat dengan jelas apa yang berlaku (jaringan Ronaldo ofsaid). Dia memang mahu membunuh kami.

“Kami berada pada mentaliti yang betul selepas mendahului 2-1 dan masih memiliki 11 pemain di atas padang. Namun, kemudian pengadil mengubah haluan kami. Anda tidak boleh pulang dengan hanya berkata ‘perkara seperti adalah normal dalam bola sepak’ selepas semua yang berlaku.

“Arturo mungkin memang patut diberikan kad atas kesalahan pertama, namun untuk kad kuning kedua, dia tidak berada dalam situasi yang sepatutnya dilayangkan kad,” kata pemain antarabangsa Jerman itu kepada pemberita sejurus tamat perlawanan. - AGENSI