Presiden Kafa Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, penukaran gelaran tersebut bertujuan untuk memberikan nafas baharu dalam sukan bola sepak di negeri ini.

Menurutnya, buat masa ini beliau sedang membuat pertimbangan untuk nama baharu pasukan Kelantan.

“Saya berhasrat menggunakan nama yang mempunyai hubungkait dengan nama negeri ini.

“Saya yakin dan percaya nama baharu ini mampu memperkasakan lagi pasukan Kelantan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2018 nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Nama TRW mula digunakan setelah Tan Sri Annuar Musa mengambil alih tampuk pemerintahan Kelantan pada tahun 2008 bagi memberikan nafas baharu kepada pasukan Kelantan.

Sebelum ini, Kelantan menggunakan nama Kijang sebagai gelaran kepada pasukan berkenaan.

Bibi Ramjani memberitahu, beliau berharap para penyokong dapat memberikan sokongan penuh terhadap hasrat tersebut.

Katanya, apa yang dilakukan itu bertujuan untuk melonjakkan lagi mana pasukan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan lain, Bibi Ramjani berkata, kujungannya ke atas Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertujuan mendapatkan pandangan dan nasihat dalam memperkasakan pentadbiran Kafa.

Katanya, sebagai badan gabungan Kafa sedia memberikan kerjasama penuh kepada FAM. - UTUSAN ONLINE