Dalam sejarah Liga Perdana, hanya ada tiga kelab - Newcastle pada 1994, Manchester City (dua musim lalu) dan Chelsea (2005 dan 2009) berjaya memulakan kempen dengan melakar enam kemenangan domestik berturut-turut.

Reds mampu berada dalam senarai tersebut jika me­ngalahkan Southampton, kemenangan yang turut memahat sejarah terbaik kelab itu yang sudahpun memenangi kesemua enam perlawanan pertama mereka setakat ini (termasuk satu aksi Liga Juara-Juara).

“Pasukan ini telah bekerja keras pada pramusim dan kita boleh melihat hasilnya sekarang. Pemain lebih cergas, menunjukkan prestasi cemerlang dan memenangi perlawanan.

“Tidak mengapa kalau saya kurang bermain, itu perkara biasa dan saya boleh terima. Yang penting, pasukan mengharungi permulaan musim terbaiknya,” kata kapten Li­verpool, Jordan Henderson.

Henderson hanya diturunkan dalam kesebelasan utama untuk satu perlawanan setakat ini, namun dia memainkan peranan besar ketika Reds menumpaskan Paris Saint-Germain (PSG) 3-2 pada aksi Eropah, Selasa lalu.

Kemasukkan pemain baharu seperti Alisson, Naby Keita dan Xherdan Shaqiri menambah kekuatan, namun yang lebih penting, penyerang senior, Daniel Sturridge kembali ke prestasi terbaik, sekali gus memberi banyak pilihan andai Mohamed Salah, Roberto Firmino atau Sadio Mane perlu direhatkan.

Kini, penyokong Liverpool sudah mula memasang impian besar untuk melihat kejuaraan Liga Perdana kembali menjadi milik mereka selepas 29 tahun menanti. – AGENSI