Reds memberi kekalahan pertama kepada City dalam aksi Liga Perdana Inggeris, musim ini setelah melakar kemenangan mendebarkan 4-3 di Anfield, kelmarin.

Anak-anak buah Klopp yang dibelasah 0-5 di Stadium Etihad pada awal musim, membuktikan mereka mampu berdiri sama tinggi dengan City dan menewaskan pendahulu Liga Perdana biarpun masih ketinggalan 15 mata di belakang.

Can berkata, kejayaan tersebut memberi gambaran tentang prospek Liverpool di pentas Eropah.

“Jika pasukan lain menyaksikan kami bermain seperti ini, mereka pasti akan lebih menghormati kami dan ia juga membantu meningkatkan keyakinan pasukan.

“Kami tidak perlu memilih seorang pemain untuk dijadikan wira ketika menentang City. Semua pemain beraksi baik dan melaksanakan tugas dengan cemerlang.

“Jika pasukan lain menyaksikan persembahan kami, hari ini (kelmarin), mereka akan berfikir ‘oh wow!’ dan mereka pasti akan melihat yang sebagai sebuah pasukan yang kuat.

“Namun begitu, ini hanya satu perlawanan. Hanya tiga mata penuh dan kami perlu meneruskannya,” kata Can.

Sementara itu, Can yang bakal tamat kontrak pada hujung musim ini menegaskan, tiada keputusan dibuat tentang masa depannya tetapi mengakui rundingan dengan Liverpool masih berjalan.

“Ejen saya yang menguruskan segala-galanya, tetapi saya akan kekal di sini sehingga musim panas (Jun). Saya tidak menurunkan tandatangan saya kepada sesiapa pun. Saya memang ada bercakap dengan semua orang.

“Sudah tentu saya berunding dengan Liverpool. Mengapa tidak? Saya masih mempunyai kontrak di sini. Kelab ini merupakan sebuah kelab yang hebat. Apa yang boleh saya katakan lagi? Ejen saya yang melakukan tugas selebihnya.

“Saya cuma memberi tumpuan kepada perlawanan, persembahan saya dan juga bola sepak. Saya akan memberikan apa sahaja kepada pasukan ini,” ujarnya. – AGENSI