City dinobat sebagai juara 2017/2018 selepas pencabar terdekat mereka, Manchester United kalah mengejut 0-1 kepada kelab tangga tercorot, West Bromwich Albion di Old Trafford awal pagi tadi.

Anak-anak buah Pep Guardiola selesa mendahului liga dengan 16 mata, sedangkan United hanya memiliki 15 mata maksimum untuk dipungut dalam baki lima perlawanan mereka.

Kejayaan City muncul juara ketika liga masih berbaki lima perlawanan membolehkan mereka menyamai rekod Red Devils pada musim 1907/1908, 2000/2001 serta Everton pada musim 1984/1985.

Skuad The Citizens sebelum ini turut mencipta rekod memenangi 18 perlawanan berturut-turut pada awal musim, selain menca­tat 11 kemenangan berturut-turut di tempat lawan.

Dengan 28 kemenangan dica­tatkan City, mereka hanya perlu menang dua lagi perlawanan untuk menyamai rekod Chelsea yang mencatat kemenangan terbanyak ketika muncul juara Liga Perdana musim 2016/2017.

Menurut Guardiola, dia sudah tahu pasukannya akan dinobat sebagai juara selepas mereka mengalahkan Chelsea 1-0, September lalu.

“Saya rasa, kemenangan di Stamford Bridge memberi keyakinan kepada kami. Keputusan itu memberi perasaan ‘OK, kami mengalahkan juara musim lalu di tempat mereka dan ya, kami juga boleh jadi juara’.

“Secara keseluruhan, pasukan ini sangat konsisten. Sergio (Aguero) pemain yang genius pada usia 30 tahun tetapi pemain lain yang baru berusia 20, 21 tahun juga memberi sumbangan besar. Jadi, kami menang dengan tenaga muda.

“Sekarang, kami mahu melakukan sesuatu yang lebih baik. Selepas muncul juara,” katanya kepada pemberita.

City akan meraikan kejayaan mereka apabila menerima kunjungan Swansea di Etihad, Ahad ini dan membariskan pemain hebat seperti Aguero, Kevin De Bruyne, David Silva dan Raheem Sterling, mereka kini mengintai untuk menutup kempen dengan 100 mata.

Skuad The Citizens kini mengumpul 87 mata dan masih memiliki 15 mata untuk direbut dalam baki lima saingan. Chelsea memegang rekod Liga Perdana dengan 95 mata ketika muncul juara 2004/2005. – AGENSI