Bukan itu sahaja, penyokong juga boleh melihat sendiri kelengkapan sukan seperti ka­sut, jersi dan bola yang dimiliki atau pernah digunakan bekas pemain Selangor sejak 1950-an.

Pengasasnya, Norrisyam Ramli, 39, berkata, tujuannya mewujudkan Hall Of Fame adalah untuk memelihara sejarah bola sepak selain menyalurkan maklumat tentang lagenda yang mengharumkan nama Selangor.

Menurutnya, dia mencari kelengkapan bola sepak itu sendiri dengan dibantu rakan yang sama-sama berjuang memelihara sejarah bola sepak Selangor iaitu Mohd. Azlan Shah Mohd. Arshad dan Mohd. Yahya Mat Sahri.

“Antara jersi yang terdapat di galeri dan pernah disarung pemain Selangor ialah seperti jersi milik Mubin Mokhtar, K. Sanbagamaran dan pemain import yang popular ketika itu Alistair Edward.

“Kesemua kelengkapan yang dipamerkan ini adalah hasil pencarian di internet atau kita berjumpa sendiri dengan pemain. Kebanyakan daripada mereka memberikan reaksi positif dan menyokong usaha memelihara lagenda bola sepak Selangor,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menceritakan lanjut, pemuda berasal dari Kelana Jaya itu berkata, membuka Hall of Fame Bola Sepak Selangor bukanlah perkara mudah kerana semua kelengkapan yang dipamerkan menggunakan wang sendiri.