Malah, pasukan Harimau Malaya turut dihukum beraksi dalam stadium kosong di tempat sendiri dalam perlawanan menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada 17 November ini.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang mengumumkan hukuman tersebut semalam, turut memberi amaran keras kepada FAM.

Menurut badan induk bola sepak dunia itu, hukuman tersebut dibuat selepas menganalisis laporan pegawai perlawanan, kedudukan FAM serta rakaman video dan gambar mengenai insiden yang tercetus dalam aksi antara Malaysia dan Arab Saudi di Stadium Shah Alam, 8 September lalu.

FAM dipertanggungjawabkan atas kekecohan yang dilakukan penyokong dan didapati melanggar artikel 6 perenggan 5 Peraturan Piala Dunia FIFA 2018, artikel 56, artikel 65, 67 perenggan 1 dan artikel 67 perenggan 3 di bawah kod Tatatertib FIFA serta artikel 4 perenggan 2, artikel 29 perenggan 1 dan artikel 2 di bawah akta Peraturan-peraturan Keselamatan Stadium FIFA.

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mokhtar Ahmad menyifatkan hukuman itu terlalu berat, namun enggan cepat menyerah kerana percaya peluang kedua mungkin hadir jika mereka mengemukakan rayuan kepada FIFA untuk meringankan hukuman.

“Kita akan fikirkan kemudian untuk melakukan rayuan tapi apa-apa pun kami akan merayu.

“Saya fikir kami akan membuat rayuan. Kenapa tidak? Kalau masih ada ruang untuk kami maka kami perlu menggunakannya dengan sebaik mungkin.

“Mana tahu hukuman yang diterima boleh dikurangkan, mana tahu FIFA mungkin pertimbangkan untuk memberi kebenaran perlawanan menentang UAE nanti boleh dihadiri oleh penyokong tapi saya tidak pasti lagi kerana ini semua perlu dirujuk kepada Datuk Seri Afandi Hamzah (Timbalan Presiden FAM),” katanya kepada pemberita di Wisma FAM semalam.

Ini bukan kali pertama FAM berdepan hukuman di peringkat antarabangsa kerana sebelum ini mereka pernah didenda RM43,173 selepas penyokong membakar suar dalam aksi persahabatan menentang Filipina di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, Mac tahun lalu.

Hukuman lebih berat diterima FAM apabila terpaksa membayar RM151,108 selepas segelintir penyokong Malaysia bertindak menyerang peminat Vietnam pada aksi separuh akhir Piala AFF, Disember lalu.

Dalam pada itu, Mokhtar turut berkata, kekecohan yang dicetuskan penyokong Harimau Malaya adalah tindakan sia-sia, malah merugikan banyak pihak.

“Kalah dan tolak tiga mata sudah dikira berat hukumannya. Saya berdoa agar peminat mengambil pengajaran serta iktibar daripada insiden ini.

“Saya tidak tahu apa motif mereka melakukannya kalau waktu itu kita menang tak pasal-pasal kalah (3-0),” katanya lagi.

Pada 8 September lalu, ketika skuad negara menentang Arab Saudi dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 arena bola sepak tempatan dikejutkan dengan insiden amukan penyokong apabila mereka bertindak membakar suar, mercun roket serta mencabut tempat duduk dan membalingnya ke dalam stadium.

Insiden tersebut berlaku ketika tempoh permainan berbaki dua minit dan selepas gagal mengawal keadaan pengadil dari Hong Kong, Liu Kwok Man terpaksa menghentikan perlawanan tersebut ketika pasukan negara sedang ketinggalan 1-2.

Dalam perkembangan berasingan, Mokhtar menjelaskan tindakan FAM mengiklankan jawatan kosong jurulatih B 23 adalah mengikuti prosedur yang dikehendaki oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berharap tiada sebarang tanggapan negatif dibuat daripada tindakan tersebut.