Presidennya, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar hukuman dikurangkan.

Katanya, beraksi dalam stadium kosong bakal menjejaskan peluang Perak ketika mereka sudah pun merancang untuk mencatat pencapaian lebih baik musim depan.

“Beraksi di stadium kosong di laman sendiri memberi kesan terhadap pendapatan Pafa dan penyokong pula tentu hampa tidak dapat memberi sokongan.

“Begitupun Pafa akan memperincikan hukuman ini dalam masa terdekat dan mengemukakan rayuan kepada FAM,” katanya.

Tindakan liar penyokong Perak ketika menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Ipoh, 6 Ogos lalu mengundang padah.

Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) turut didenda RM30,000 keseluruhan atas tindakan penyokong mereka membaling botol minuman ke arah penyokong Perak, memusnahkan papan iklan, mencederakan seorang jurugambar serta menyanyikan lagu menghina pasukan lawan.

“Pafa didapati bersalah melanggar Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton’ dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Pelanggaran Berulang’.

“Bagi Pertuduhan Pertama serta Artikel 68 (e) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Penganjuran Perlawanan’ dan dibaca bersama dengan Artikel 69.2 berkenaan ‘Kegagalan Mematuhi’ dan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Pelanggaran Berulang’ bagi Pertuduhan Kedua.

“PBNJ didapati bersalah melanggar Artikel 70.2 Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Tanggungjawab Bagi Kelakuan Penonton’ dan dibaca bersama dengan Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘ Pelanggaran Berulang’.

“Bagi Pertuduhan Pertama serta Artikel 60.1 (a) Kod Tatatertib FAM 2015 berkenaan ‘Diskriminasi’ dan dibaca bersama dengan Artikel 60.2 (a) & (b) berkenaan ‘Diskriminasi’ bagi Pertuduhan Kedua,” kata Pengerusi Jawatankuasa FAM, Datuk Kang Hwee Gee.