Namun, pemain berusia 21 tahun itu tidak mahu menjadikan hukuman yang diterima sebagai penamat kariernya bersama skuad Bawah 23 negara dan berharap dapat membantu pasukan negara dalam Sukan SEA di Kuala Lumpur, dua tahun lagi.

Melalui akaun Instagram miliknya, Nazmi juga memberikan kata-kata semangat kepada rakan-rakannya dan berharap mereka sama sekali tidak berputus asa dalam menghadapi baki saingan Sukan SEA 2015.

“Penggantungan enam perlawanan. Saya tidak akan berputus asa sebaliknya akan kembali bangkit. Jumpa lagi (dalam) Sukan SEA dua tahun akan datang.

“Selamat berjaya kepada rakan sepasukan. Anda memang rakan sepasukan yang hebat, begitu juga kepada pegawai-pegawai pasukan,” katanya.

Pemain dari Lembah Keramat, Kuala Lumpur itu dihukum gantung enam perlawanan setelah didapati bersalah akibat tindakannya meludah pemain Timor Leste dalam perlawanan pertama Kumpulan B acara bola sepak Sukan SEA pada Sabtu lalu.

Hukuman itu bermakna Nazmi secara automatik tidak dapat bermain dalam perlawanan seterusnya walaupun jika skuad Datuk Ong Kim Swee mara ke sehingga ke perlawanan akhir sekali pun.

Sementara itu, penolong pengurus pasukan Datuk Halim Mu’azzam Ayob mengesahkan Nazmi akan dihantar pulang ke Kuala Lumpur selewat-lewatnya esok.

“Nazmi akan pulang ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat ini cuma kami belum buat keputusan sama ada esok (hari ini) atau lusa (esok),” katanya. – UTUSAN