Hughes sedar QPR berada dalam masalah selepas kekalahan terbaru 1-0 kepada Newcastle United kelmarin, yang berpunca daripada kecuaian pertahanan.

Ketika ini, pasukannya menghuni tangga ketiga tercorot selepas mengharungi sembilan perlawanan terakhir tanpa kemenangan.

Hughes telah menyenaraikan beberapa nama untuk tindakan pihak pengurusan iaitu pertahanan Chelsea, Alex, pemain tengah Blackburn, Christopher Samba dan penyerang Sao Paulo, Henrique.

"Saya boleh katakan bahawa kami berada dalam pasaran untuk mencari pemain yang bagus.

"Kami sudah mengenal pasti pemain yang dikehendaki. Saya yakin mereka semua memiliki kualiti yang saya mahukan,'' ujar Hughes.

Ditanya mengenai Samba, Hughes mengakui bidaan untuk membeli pemain itu sudah dilakukan tetapi mereka juga berharap untuk membawa masuk beberapa nama lain ke dalam kelab. "Kita tunggu dan lihat nanti," katanya.

Sementara itu pengurus Newcastle, Alan Pardew berharap pemain tengahnya, Yohan Cabaye tidak mengalami kecederaan serius selepas dikeluarkan dalam perlawanan kelmarin.

Pemain Perancis itu terpaksa diusung keluar akibat terjahan keras pemain tengah QPR, Shaun Derry pada minit ke-20 - AFP