Jurulatih kelahiran Portugal itu bertegang mulut dengan Pogba sejurus selepas United seri 2-2 dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Southampton, Sabtu lalu.

Mourinho mengkritik Pogba dalam bilik persalinan kerana gagal mengawal bola dengan baik, sambil melabelkan bintang Perancis itu sebagai ‘virus’.

Menurut The Sun, Pogba bersemuka de­ngan Mourinho dan memberi amaran kepada jurulatih itu agar berhenti daripada melihat dirinya sebagai masalah utama United.

Daily Mail pula melaporkan, kenyataan Mourinho dibuat secara umum kerana dia berang dengan standard serta disiplin pemain yang teruk, namun isu prestasi Pogba memang membimbangkan barisan kejurulatihan.

Biarpun berdepan masalah pemain dan bergelut dengan prestasi, Mourinho percaya, dia tidak dikhianati oleh pasukannya, termasuk Pogba.

“Anda mahu bertanya soalan atau cuba membuat kenyataan? Tidak, saya tidak berminat bercakap tentang pemain secara individu.

“Skuad yang saya senaraikan di Southampton adalah nama dipilih secara positif berdasarkan keazaman, semangat juang dan ­keghairahan pemain,” kata Mourinho ketika ditanya tentang Pogba.

Beliau juga tidak mahu menjawab soalan berhubung pemainnya yang tidak beraksi di tahap sebenar.

“Saya tidak setuju dengan anda atau berkata beberapa pemain sengaja tidak mahu memberi persembahan terbaik.

“Saya tidak berkongsi pandangan begitu,” tegasnya yang menganggap pemain yang ada cukup profesional untuk memberi yang terbaik. – AGENSI