Higuan, 31, yang ketika ini dipinjamkan kepada AC Milan oleh Juventus mahu memendekkan tempoh pinjaman di San Siro bagi membolehkannya kembali bekerjasama dengan pengurus Blues, Maurizio Sarri.

Perpindahan itu agak rumit melihat kepada perjanjian pinjaman yang dilakukan di antara Juventus dan Milan, namun Chelsea cuba menyelesaikan masalah tersebut dalam tempoh beberapa minggu ini.

Sarri berharap dapat menandatangani Higuain yang amat menyinar ketika dia bekerjasama dengan pemain itu di Napoli.

Kehadiran abang yang juga ejen Higuain, Nicolas di London semalam diharap dapat menemui jalan penyelesaian.

Menurut media Britain, Juventus juga berharap Chelsea dapat mengambil alih perjanjian yang sebelum ini dimeterai bersama Milan.

Mengikut kontrak, Higuain yang dipinjamkan kepada skuad Rossoneri musim lalu boleh menyertai kelab tersebut secara tetap jika mereka sanggup membayar 32 juta pound (RM166 juta) jumlah yang mungkin sukar dipenuhi Chelsea.

Sarri terdesak untuk membawa masuk bintang Argentina itu kerana Blues kini berdepan masalah untuk meledak gol musim ini.

Ketika beraksi buat Napoli di bawah bimbingan Sarri, Higuain cemerlang meledak 38 gol pada musim terakhirnya sebelum menyertai Juventus, dua tahun lalu.

Andai usaha mendapatkan Higuain gagal, Chelsea sedia beralih fokus kepada bintang Bournemouth, Callum Wilson, selain Marko Arnautovic (West Ham) serta bintang Leicester, Jamie Vardy. - AGENSI