Pemain yang baru menjangkau usia 31 tahun pada Disember lalu bagaimanapun bukanlah ‘playboy’ seperti Neymar atau Karim Benzema, sebaliknya dikenali sebagai seorang lelaki yang sedang memburu cinta sejati.

Cinta pertama Higuain adalah aktres Argentina, Soledad Fandino yang tua lima tahun daripadanya. Wanita tersebut dikatakan menjalinkan hubungan dengan pemain itu selepas tamat Piala Dunia 2010.

Terdapat sumber mengatakan Soledad mengandungkan anak Higuain apabila dia sengaja menghindari minuman alkohol ketika menikmati makan malam di sebuah restoran di Argentina kerana mahu melindungi kandungannya.

Spekulasi bahawa Higuain bakal menjadi seorang ayah tersebar luas ketika itu selepas seseorang melihat perut Soledad ‘buncit’ sedikit tidak seperti kebiasaan.

“Fandino dua kali berselang dengan air masak selepas menikmati minuman anggur. Ia janggal dilihat, ada juga roti panggang di situ tetapi sangat jelas Soledad menghindari arak,” kata sumber tersebut.

Mereka bagaimanapun berpisah hanya beberapa bulan selepas itu.

Higuain kemudian dihidu bercinta dengan Natalie Perez, yang juga aktres dan penyanyi Argentina. Wanita tersebut terkenal dengan watak antagonis dalam filem bersiri Consents. Percintaan mereka juga terputus di tengah jalan selepas beberapa bulan.

Pada 2011, penyerang Argentina itu mula dengan azam baharu apabila menyorokkan hubungan bersama produser televisyen dan wartawan penyiaran, Daniela Saurwald.

Daniela adalah anak seorang hartawan Eropah, yang memberi amaran kepada Higuain agar tidak mendedahkan hubungan mereka. Hubungan mereka bagaimanapun turut menemui jalan buntu.

Masih belum berputus asa, anak kepada bekas pemain bola sepak profesional dan pertahanan River Plate, Jorge Higuain itu seterusnya menyembunyikan hubungan dengan Ailen Bechara pada 2011 hingga 2013. Bagaimanapun model Argentina itu mendakwa mereka hanya berkawan rapat sebelum putus.

Dalam tempoh terdekat, dia dilaporkan bercinta dengan Lucia Fabiani, namun kali ini Higuain menafikannya.

Selepas berkali-kali dikecewakan, kini Lara Wechsler, yang juga model berusia lima tahun lebih muda daripada Higuain dikatakan permaisuri bertakhta di hatinya.

Tidak banyak diketahui mengenai hubungan di antara mereka kerana masing-masing menyimpan rahsia, yang dianggapnya sebagai privasi.

Bagaimanapun terdapat laporan bahawa Lara mengenali pemain yang memulakan karier di River Plate itu ketika mewakili kelab Sepanyol, Real Madrid sekitar tahun 2013. Pada masa itu, Lara masih lagi seorang pelajar. Lara pernah mendedahkan hubungan mereka serius dan rapat dengan ibu Higuain, Nancy Zacarias.

The Sun sebelum ini pernah melaporkan bahawa Lara sanggup mengikuti Higuain berpindah dari Napoli ke Turin yang berjarak 608 batu jauhnya semata-mata untuk bersama dengan pasangannya berhijrah ke Juventus pada 2016.

Pasangan tersebut dilaporkan ‘berkahwin’ pada Disember 2017 dan dianugerahkan seorang anak perempuan bernama Alma tahun lalu.