Salah mempamerkan prestasi di luar jangkaan sejak dia meninggalkan Roma dengan harga rekod 42 juta euro (RM200 juta) untuk kembali beraksi dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) pada Jun lalu.

Salah dinobatkan selaku Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) England selepas meledak 41 gol dalam 46 penampilannya.

Tidak seperti bekas pemain Liverpool seperti Luis Suarez dan Philippe Coutinho yang mudah tertarik dengan tawaran lumayan untuk berpindah ke Barcelona, Henderson berharap Salah kekal yakin untuk bersama Liverpool dan menaruh kepercayaan bahawa The Reds mampu merangkul kejuaraan utama di bawah kendalian Jurgen Klopp.

“Dia seorang pemain yang menakjubkan, sudah terbukti dia antara pemain terbaik di dunia dan sudah tentu banyak kelab mahu mendapatkan khidmatnya.

“Walau bagaimanapun dia berada dalam pasukan yang hebat dengan pengurus yang berwibawa, jadi saya fikir dia berada di landasan yang betul. Kami mahu mencipta sejarah kami sendiri dan saya yakin Mo mahu menjadi sebahagian daripada kelab ini untuk tahun yang akan datang,” kata Henderson.

Klopp disanjung tinggi berikutan keupayaannya mencari pemain hebat dan memimpin Liverpool memasuki kelompok empat pasukan terakhir dalam Liga Juara-juara buat kali pertama dalam tempoh sedekad.

“Dia merupakan salah seorang pengurus terbaik di dunia kerana taktikal permainannya yang tidak boleh dipertikaikan, anda boleh lihat persembahan pasukan kemudian cara kami bermain.

“Apabila di luar padang, dia seorang manusia yang menarik. Sangat semula jadi dan mempunyai minat yang mendalam terhadap bola sepak,” kata Henderson lagi. – AFP