Dua pemain itu berasakan, permainan dan umpanan lintang yang lebih teratur dan tepat adalah antara ciri-ciri positif yang berjaya diterapkan oleh Kim Swee dalam sesi latihan sejak 13 Mac lalu dan ketika menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) 1-0 hasil jaringan Sharul Mohd. Saad di Shah Alam semalam.

“Corak permainan pasukan sudah ada perubahan dan peningkatan. Permainan lebih teratur dan umpanan lintang menjadi sekalipun kami menang dengan hanya satu gol.

“Dalam sesi latihan pun ada banyak formasi baharu yang kami cuba terapkan,” kata Helmi selepas menyaksikan Liga Tango Adidas 2017 (bola sepak jalanan empat sepasukan) yang dijuarai TOT United ‘A’ dengan menewaskan One United 7-2 di sebuah pusat beli-belah di sini hari ini.

Skuad Kim Swee akan ke Stadium Peringatan Rizal, Manila untuk menghadapi Filipina dalam persahabatan antarabangsa A Rabu ini. Perlawanan itu merupakan ujian untuk skuadnya sebagai persediaan menentang Korea Utara dalam Kumpulan B Kelayakan Akhir Piala Asia 2019, 8 Jun ini selepas ditangguhkan dari 28 Mac.

“Sudah pasti apabila mendapat panggilan berlatih bersama pasukan negara, saya mahu menyertai kesebelasan utama. Ini saya serahkan kepada jurulatih tetapi saya percaya semua pemain akan berjuang sengit untuk diturunkan menentang Filipina,” kata Helmi.

Filipina, yang berada di ranking ke-124 dunia, terikat tanpa jaringan dengan Malaysia (ranking 161) dalam dua pertemuan persahabatan terakhir mereka iaitu di Selayang, Selangor pada 1 Mac 2014 dan Cebu pada 27 April 2014.

Bek tengah Shahrom pula menyifatkan barisan belakang utama negara yang diuji menentang PDRM semalam yang dibarisi dirinya, Ronny Harun, Rizal Ghazali dan Khair Muhammad Jefri Jones sebagai mampu mencapai keserasian dengan cepat.

“Saya, Rizal dan Ronny sudah berada di barisan itu ketika Piala AFF (di Yangon, Myanmar, November lalu). Khair pula pernah bersama kami ketika play-off Kelayakan Piala Asia 2019 menentang Timor Leste di Johor Bahru (pertengahan tahun lalu).

“Tiada masalah untuk dapatkan keserasian terutama dengan kehadiran semula Khair yang kelebihan fizikalnya amat membantu sebagai bek kiri. Harap-harap selepas Datuk Kim Swee di QPR, kami dapat keputusan positif di Manila,” katanya.

Kim Swee berguru selama sebulan pada awal bulan lalu dengan QPR, yang bersaing dalam Liga Kejuaraan, iaitu divisyen kedua liga Inggeris.

Sementara itu Liga Tango Adidas turut menobatkan seorang pemain TOT ‘A’, Mohd. Shahril Anuar Rosli sebagai Pemain Paling Bernilai. Kemenangan itu bermakna dia mendapat kontrak penajaan lumayan bernilai RM15,000 setahun selain RM5,000 sebagai habuan bergelar juara. – UTUSAN