Eden Hazard menjaringkan gol liga ke-100 pada minit ketiga dan ke-77 untuk mengetuai kemenangan Chelsea, manakala dua lagi jaringan disempurnakan oleh Willian (minit keenam) dan Victor Moses, seminit sebelum tamat perlawanan.

Kemenangan itu membolehkan Blues memintas Liverpool untuk kembali ke tangga ketiga liga dengan 50 mata selepas 24 perlawanan, malah ia hadir ketika mereka memerlukan suntikan moral menjelang aksi separuh akhir Piala Liga menentang Arsenal, 25 Januari ini.

Pada Khamis lalu, Chelsea terpaksa memerlukan penentuan sepakan penalti untuk menyingkirkan Norwich City 5-3 dalam pusingan ketiga Piala FA selepas permainan waktu sebenar berkesudahan 1-1.

Juara Liga Perdana itu gagal mencatat kemenangan dalam empat perlawanan terdahulu apabila seri 0-0 dengan Leicester City (Liga Perdana, 13 Januari), diikat 0-0 oleh Arsenal (separuh akhir pertama Piala Liga, 11 Januari), seri tanpa jaringan dengan Norwich (pusingan ketiga Piala FA), selain seri 2-2 dengan Arsenal dalam aksi Liga Perdana pada 4 Januari.

Kemenangan tersebut dicatat tanpa dua tonggak utama, Pedro dan Alvaro Morata yang menjalani penggantungan. - AGENSI