Dilahirkan dari sebuah keluarga bola sepak di Braine-le-Comte, Belgium, reputasi Hazard tersebar merentasi sempadan dan dia memulakan kariernya bersama Lille seawal usia 14 tahun.

Dua tahun selepas itu, Hazard membuat penampilan sulung sebagai pemain profesional dalam Liga 1 dan sejak itu, dia membuktikan dirinya antara pemain berbakat dalam bola sepak Perancis, setelah dua kali dinobatkan selaku pemain terbaik serta turut membantu Lille merangkul gelaran Liga 1 dan kejayaan berganda Piala Perancis pada 2010/11.

Dia selepas itu menyertai Chelsea pada 2012 dengan yuran perpindahan sebanyak 32 juta pound (RM171 juta), yang mana nilai tersebut boleh dianggap murah pada ketika ini.

Selama enam musim di England, Hazard telah memenangi tiga gelaran Liga Perdana Inggeris dan meraih begitu ramai peminat yang mengaguminya. Namun, terdapat segelintir pemerhati bola sepak yang meragui kesungguhannya untuk menyaingi Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi sebagai pemain terbaik dunia.

Setakat ini di Rusia, Hazard membawa misi besar bagi memastikan Belgium yang digelar sebagai generasi emas memenuhi impian untuk membawa pulang Piala Dunia buat kali pertama dalam sejarah negara itu.

Lilitan dilengan yang diberikan oleh Roberto Martinez meskipun Vincent Kompany sudah kembali daripada kecederaan, jurulatih warga Sepanyol itu begitu mengagumi kualiti kepimpinan dimiliki Hazard. – AFP