Perlawanan yang diheret hingga ke masa tambahan itu berkesudahan dengan keputusan agregat 6-3 dan juara bertahan tersebut akan berada dalam undian separuh akhir Jumaat ini buat kali ketujuh berturut-turut.

Namun, tuan rumah diberikan tekanan sepanjang permainan setelah Bayern mengatasi defisit 1-2 dalam timbal balik pertama untuk mengikat kedudukan dan mengheret permainan ke masa tambahan hasil sepakan penalti Robert Lewandowski pada minit ke-53 dan gol sendiri Sergio Ramos 24 minit kemudian.

Bagaimanapun, pemain te­ngah pasukan pelawat Arturo Vidal yang dihukum secara ke­terlaluan selepas dibuang padang kerana dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-84 telah menjadi titik permulaan kepada nasib malang Bayern.

Ronaldo, yang menjaringkan gol ke-101 dalam pertandingan itu seminit sebelum Ramos menolak bola ke jaring sendiri, telah membangkitkan kemarahan Ba­yern selepas dia jelas berada dalam kedudukan ofsaid sewaktu menyumbat gol kedua pada minit ke-104.

Penyerang antarabangsa Portugal itu kemudiannya melengkapkan hatrik pada minit ke-109 yang sekali lagi didakwa dari posisi ofsaid, sebelum Marco Asensio menyempurnakan jaringan solo untuk memastikan kemenangan sensasi Real ke atas Ba­yern berada di dalam genggaman.

Sementara itu, Ronaldo yang muncul sebagai pemain pertama menjaringkan lebih 100 gol dalam pertandingan ini telah meminta penyokong Real agar lebih menghormatinya pada masa akan datang.

Pemain itu yang sekian lama menjadi tonggak Real, telah menjadi mangsa ejekan segelintir penyokong tuan rumah yang menuduhnya tidak bekerja keras untuk mendapatkan bola. Pada satu ketika, Ronaldo meletakkan jari telunjuk di bibirnya sebagai isyarat meminta penyokong di Bernabeu supaya diam daripada mengejeknya.

“Saya tidak bermaksud me­minta mereka supaya mendiamkan diri, saya hanya mahu mereka tidak terus bersiul. Ini kerana saya sering memberikan yang terbaik dalam setiap perlawanan, walaupun kadangkala saya gagal menjaringkan gol, tetapi saya tetap bekerja keras membantu Real Madrid.

“Saya sentiasa berfikiran positif. Pasukan berada dalam keadaan baik dan kami telah mempamerkan permainan yang bagus. Sudah tentu saya gembira dengan jaringan tersebut,” kata Ronaldo kepada stesen televisyen Sepanyol, Antena 3. – AGENSI