Anak-anak buah Zinedine Zidane gagal mempamer prestasi sebenar musim ini, dan kemenangan tersebut belum cukup sempurna tetapi sekurang-kurangnya mereka kelihatan sudah menemui sentuhan sebenar menjelang aksi dengan kelab Pe­rancis itu pada Khamis ini.

Los Blancos mengkucar-kacirkan Sociedad pada babak pertama di Santiago Bernabeu selepas meledak gol pendahuluan seawal minit pertama menerusi Lucas Vazquez, sebelum menjaringkan tambahan empat gol lagi.

Toni Kroos antara pemain yang menjadi penjaring Real untuk membantu skuad bimbingan Zidane melakar tiga kemenangan dan sekali seri dalam empat perlawanan terakhir.

Kelekaan benteng pertahanan membuka laluan buat pasukan pelawat me­nyumbat dua gol pada lewat permainan, dan kelemahan itu nyata membimbangkan Zidane, tetapi kejayaan Ronaldo mendapatkan kembali prestasi terbaiknya memberi suntikan semangat buat Real.

“Dia sentiasa memiliki minda untuk menjaringkan gol. Dia hidup untuk berbuat demikian, dan hari ini dia membuktikan dengan tiga jaringannya, anda perlu mengawasinya.

“Dia sebenarnya mampu menjaringkan dua atau tiga gol lagi, dan sentuhan berbisanya itu ternyata menjadi menjelang perlawanan Rabu ini (Khamis waktu Malaysia),” kata Zidane.

Real masih keciciran jauh 16 mata di belakang pendahulu liga, Barcelona, tetapi mereka kini mendaki ke tangga ketiga mengatasi Valencia yang hanya akan turun ke padang, esok (awal pagi waktu Malaysia) menentang Levante.

Dengan kunjungan ke PSG yang berlegar dalam pemikiran, Zidane merehatkan Gareth Bale dan Casemiro bagi memberi laluan kepada Marco Asensio serta Lucas Vazquez untuk disenaraikan dalam kese­belasan utama. – AFP