LIONEL MESSI cemerlang membantu Argentina layak ke Piala Dunia selepas mengalahkan Equador 3-1 di Quito, kelmarin. - AFP

Bintang Barcelona tersebut mempamerkan kebangkitan membantu Argentina melakar kemenangan 3-1 ke atas Ecuador di Quito, setelah juara dunia dua kali itu terpaksa mengharungi kempen yang kacau-bilau apabila berada di dalam bahaya BERKEMUNGKINAN gagal layak ke Piala Dunia.

Messi menjaringkan dua gol dalam tempoh 20 minit, bagi meletakkan Argentina di depan selepas Ecuador mengejutkan pasukan pelawat menerusi gol pembukaan Romario Ibarra sebaik 38 saat perlawanan bermula.

Kapten Argentina itu kemudian melengkapkan hatrik buat kali ke-44 sepanjang kariernya yang gemilang setelah dia menguis tinggi bola yang menerjah ke pintu gol tuan rumah pada minit ke-62 untuk menghadiahkan kemenangan mutlak buat La Albiceleste.

Kejayaan tersebut membolehkan Messi mengintai peluang untuk melakukan penampilan buat kali keempat pada Piala Dunia, tahun depan di Rusia, di mana dia sekali lagi akan cuba mengetuai pasukan negaranya memburu gelaran yang cukup sukar berada di dalam dakapan mereka.

Sejak Argentina tewas di tangan Jerman pada perlawanan akhir Piala Dunia 2014, Messi telah ditimpa kekecewaan sebanyak dua kali dalam kejohanan besar apabila gagal pada dua final di Copa Amerika 2015 dan Copa Amerika Centenario 2016.

Messi, yang bakal menginjak ke usia 31 tahun pada Piala Dunia tahun depan, kini mempunyai peluang terakhir untuk menyamai pencapaian idolanya, Diego Maradona dengan menjulang Piala Dunia.

“Messi tidak berhutang Piala Dunia kepada Argentina, tetapi sebaliknya bola sepak yang berhutang Piala Dunia dengan Messi. Dia pemain terbaik dalam sejarah. Ini merupakan sebuah pasukan juara. Mereka beraksi dengan cemerlang,” kata pengurus Argentina, Jorge Sampaoli.

Bagaimanapun, pada ketika Argentina meraikan kejayaan mereka, pasukan yang pernah dibimbing Sampaoli, Chile pula terpaksa mengharungi detik yang mengecewakan. Juara Copa Amerika 2015 dan 2016 itu, tewas 0-3 kepada Brazil di Sao Paulo yang sekali gus menyaksikan mereka tersingkir hanya dengan perbezaan jaringan.

Pemain Barcelona, Paulinho meledakkan gol pembukaan sebelum bintang muda Manchester City, Gabriel Jesus menyumbat dua gol untuk memastikan kemenangan Brazil yang telahpun layak ke Piala Dunia, sementara Chile tersingkir apabila sekadar berada di tempat keenam.

Chile melengkapkan aksi mereka dengan berkongsi mata bersama Peru, yang berjaya menempah tempat untuk aksi play-off menentang New Zealand. Dua lagi pasukan yang turut layak ialah Colombia dan Uruguay. – AFP