Kekalahan terbaharu itu menyaksikan The Red Warriors (TRW) terus menghuni tangga tercorot liga, malah mengharungi tujuh perlawanan tanpa kemenangan (semua pertandingan).

Masih terlalu awal untuk menilai keupayaan Yusri, 43, kerana dia baru masuk menggantikan Marko Kraljevic tidak sampai seminggu.

Dalam aksi di Stadium Sultan Muhammad IV, tuan rumah terlebih dulu dikejutkan dengan jaringan pantas Muhammad Ferris Danial Mat Nasir menerusi rembatan jarak dekat pada minit ke-13.

Gol itu hanya bertahan dua minit apabila Flavio Beck Junior berjaya menyamakan kedudukan 1-1 selepas sepakan bebas dari luar kotak penalti menerjah gawang, menewaskan penjaga gawang Negeri Sembilan, Mohamad Fadzley Abdul Rahim.

Seminit sebelum tamat separuh masa pertama, Ferris Danial sekali lagi menjadi ‘duri dalam daging’ buat TRW apabila meledak gol kedua Negeri Sembilan.

Bersambung babak kedua, Ferris Danial terus menghadirkan ‘malapetaka’ buat anak-anak buah Yusri apabila melengkapkan hatrik pada minit ke-51 untuk membolehkan Negeri Sembilan mendahului 3-1.

Tiga minit berselang, pelawat terus berpesta dengan meledakkan gol keempat menerusi Jose Barros Neto yang bijak mempedaya benteng pertahanan tuan rumah.

Beraksi di Kota Bharu bagaikan tidak langsung memberi semangat kepada Kelantan apabila gawang mereka bocor buat kali kelima menerusi jaringan Ridzuan Abdunloh Pula pada minit ke-56.

Pemain gantian, Hakimi Abdullah menjaringkan gol saguhati tuan rumah pada waktu kecederaan, namun ia tidak mampu merubah nasib Kelantan yang dimalukan di laman sendiri. - UTUSAN ONLINE