Mat Sport
 

Tirai 2016 bakal ditutup dalam tempoh tiga hari lagi namun lampu limpah masih tidak beralih kepada persediaan Selangor mengharungi musim baharu Liga Malaysia bermula 20 Januari ini sebaliknya tertumpu kepada kemelut antara Ahli Exco FAS dengan presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Masing-masing tak nak mengalah... yang pastinya mereka mempunyai agenda tersendiri serta didorong oleh kepentingan peribadi dan politik.

Bagi Mat, ada dua talian hayat dalam usaha menyelamatkan legasi kegemilangan yang ditinggalkan legenda bola sepak negara, Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari bersama Selangor.

Pertama ikut seperti apa yang disarankan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah agar ‘orang lama’ dalam persatuan tersebut berundur secara terhormat.

Kedua, adalah merombak FAS dengan Tengku Amir Shah dilantik menjadi presiden, atau penaung mahupun penasihat agar baginda boleh bersuara.

Bak kata Khalid Ali yang juga pemain Selangor era 1980-an: “Zaman kegemilangan skuad Red Giants pada era 70-an dan 80-an banyak dibantu penglibatan pihak istana dan beliau berharap, Tengku Amir Shah dapat berbuat demikian seperti yang pernah dilakukan ayahandanya, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Kata Khalid, hubungan pasukan dengan pihak istana suatu ketika dahulu cukup erat. Sebab itu tiada permasalahan tentang pentadbiran dalam Selangor seperti yang terjadi pada hari ini.

Bagi Mat, politik dan sukan tidak payah nak dicampuradukkan. Kalau ditanya... perlukah politik dalam sukan? Sudah tentu ada yang bersetuju tetapi ramai juga yang menentang.

Kalau dari sisi buruk, apabila terdapat perbezaan fahaman politik, sukan dan atlet akan menjadi mangsa. Perkara beginilah yang akan merencatkan perkembangan sesebuah sukan. Situasi sebegini bukan sahaja berlaku di Malaysia, namun juga berlaku di luar negara.

Kita tahu penglibatan politik dalam sukan sememangnya perlu namun politik yang melampau mampu memusnahkan bidang sukan tersebut.

Kesimpulannya, politik adalah penting dalam sukan tetapi sukan tidak perlu dipolitikkan.