Jurucakap kelab penyokong Perak, Mohd. Shirin Adnan berkata, Ahmad Shahrul adalah individu paling layak menggantikan Hasnul Zulkarnain.

“Ini kerana Ahmad Shahrul faham mengenai sukan ini kerana pengalamannya sebagai seorang bekas pemain bola sepak.

“Lebih penting, kami tidak mahu orang politik memimpin persatuan kerana ia hanya akan menghancurkan sukan bola sepak,” katanya dalam sidang akhbar ketika mengadakan perhimpunan yang disertai 200 penyokong di pekarangan Stadium Perak hari ini.

Sementara itu, seorang lagi penyokong, Mohamad Khairul Muzamir Mohd. Rudzlan berkata, perbuatan Hasnul Zulkarnain tidak menghormati Piala Malaysia yang dimenangi Perak baru-baru ini tidak boleh dimaafkan.

“Jika beliau enggan meletak jawatan, kami akan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar,” katanya.

Antara tindakan Hasnul Zulkarnain yang tidak disenangi termasuklah membawa piala tersebut ke mana beliau pergi selain bergambar di tepi kolam renang.

Sehubungan itu, sebahagian penyokong yang tidak berpuas hati dengan tindakan Presiden Pafa itu bertindak mengumpul tanda tangan sebagai tanda sokongan bagi memulakan petisyen mendesak pengunduran Hasnul Zulkarnain.

Seorang lagi penyokong, Mohd. Jefferey Amin Abd. Hamid berkata, kempen mengumpul tanda tangan yang telah bermula sejak semalam itu berjaya mengumpulkan lebih 2,000 tanda tangan sehingga pukul 11 pagi ini.

Menurut Jefferey, yang telah menyokong Perak sejak 80-an, rata-rata peminat kecewa de­ngan sikap yang ditunjukkan Hasnul Zulkarnain yang disifatkan tidak menghormati piala paling berprestij di negara ini itu.

"Perbuatan Presiden Pafa membawa piala yang dimena­ngi para pemain dengan bersusah payah ke mana sahaja dia pergi menunjukkan dia sangat tidak menghormati piala itu sendiri.

"Malah amat memalukan apabila beliau turut bertindak bergambar dengan piala itu di tepi kolam, selain berarak tanpa pemain. Jelas tindakan ini tidak patut dibuat oleh seorang yang bergelar presiden persatuan bola sepak," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengumpul tandatangan penyokong Pe­rak di pasar Memory Lane di Jalan Horley di sini hari ini.

Tambah Mohd. Jefferey Amin, petisyen mendesak Presiden meletakkan jawatan itu akan dihantar ke pejabat Pafa esok.

"Kami berharap lebih ramai akan menandatangangi petisyen tersebut.

"Selain itu, desakan melalui laman web www.change.org juga telah dilakukan sejak semalam dan akan berakhir pada pukul 12 tengah malam ini," katanya.

Sementara itu, Hasnul Zulkarnain berkata, dia tidak akan meletakkan jawatan walaupun didesak.