Bagaimanapun, di sebalik kejayaan itu, tidak banyak berita yang dimainkan tentang kejayaan Perak. Sebaliknya lebih berkisar tentang Presiden Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa), Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim yang Mat fikir tindakannya itu lebih sudu daripada kuah.

Mat Sport
Mat Sport 

Mat tahu mungkin dia terlalu teruja dengan kemenangan Perak, maklumlah sudah 18 tahun tidak memenanginya tetapi janganlah keterlaluan sehingga boleh me­nimbulkan rasa marah, malu dan jengkel kepada kalangan peminat The Bos Gaurus.

Ada ke patut dia bergambar bersama trofi di tepi kolam renang sambil trofi keramat itu berada di celah kelengkang sehingga menerima kecaman teruk daripada warganet. Tidakkah dia tahu bahawa pertandingan Piala Malaysia antara kejohanan tertua di Asia.

Bukan mahu terlalu meng­agungkan piala itu melebihi Al-quran tetapi tidak perlu rasanya dia nak bergambar sedemikian rupa kerana itu semua adalah hasil usaha keras pemain yang berjuang dari peringkat kumpulan hingga ke final, malah pasukan yang dibentuk pada musim ini adalah hasil usaha kepemimpinan terdahulu.

Janganlah jadi seperti lembu punya susu, sapi dapat nama. Tidak cukup dengan itu, dia boleh pula membawa Piala Malaysia di atas sebuah bas mengelilingi bandar Parit Buntar baru-baru ini sehingga dikritik hebat oleh netizen.

Mat pelik. Kenapa dia nak bawa piala itu keliling Parit Buntar? Walau apa pun alasanya, susah Mat nak terima. Lagi satu, kenapa Mat tengok dia sahaja yang lebih-lebih sedangkan pemain dan jurulatih rileks sahaja, begitu juga dengan penyokong.

Lagi satu, sejak Perak menang, masih belum ada majlis sambutan. Sepatutnya apabila pasukan anda sudah masuk final, anda perlu me­rangka sambutan perarakan yang akan diadakan sekiranya pasukan anda menang. Tidak perlu tunggu menang baru terhegeh-hegeh nak buat perbincangan. Kalau gagal merancang itu bermaksud kita merancang untuk gagal.

Baru-baru ini penyokong Perak mendesak agar Hasnul melepaskan jawatannya tetapi dia tetap dengan pendiriannya untuk terus memegang jawatan itu. Dalam hal itu Mat tak mahu campur, biarlah dia fikir sendiri.

Begitu pun, selepas beberapa kontroversi yang dicetuskan oleh Hasnul, Mat tetap memberi pujian kerana dia memohon maaf. Baguslah, mungkin dia sudah insaf.