Kekalahan itu tidak hanya mengecewakan penyokong Malaysia, malah meletakkan kedudukan Ketua Jurulatih, Datuk Ong Kim Swee dalam bahaya kerana gagal mencapai Indeks Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) iaitu layak sekurang-kurangnya ke final.

Turun dengan reputasi selaku juara 2010 dan naib juara dua kali, termasuk dalam edisi terakhir pada 2014, pasukan negara bagaimanapun gagal menunjukkan kualiti yang sepatutnya, sebaliknya Myanmar yang tidak pernah layak ke final lebih banyak menguasai permainan serta mempamer kesungguhan untuk menang.

Walaupun penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat telah melakukan sedaya upaya untuk mempertahankan gawang Harimau Malaysia, termasuk menyelamatkan sepakan penalti tuan rumah di awal permainan, namun jaringan David Htan, seminit sebelum tamat perlawanan memusnahkan segala-galanya.

Sejurus tamat permainan, Kim Swee mengakui, beliau gagal memenuhi KPI yang ditetapkan FAM dan menyerahkan nasibnya kepada badan bola sepak itu.

“Bagi saya ini satu kegagalan kerana saya diletakkan KPI (ke final) dan apabila kita tidak layak ke separuh akhir ini bermakna saya gagal.

“Bagaimanapun saya tidak tertekan sebaliknya perlu memikirkan bagaimana untuk menyempurnakan dua lagi KPI yang ditetapkan kepada saya.

“Setiap pekerjaan mempunyai tekanan dan kerja saya adalah jurulatih skuad kebangsaan dan sudah pasti saya perlu menghadapi tekanan seperti ini.

“Inilah apa yang perlu kita lalui. Kita berjuang sehingga tamat permainan dan saya tidak boleh minta apa-apa lagi dari pemain,” katanya.

Kim Swee masih mempunyai dua lagi misi dalam KPI iaitu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2019 dan memperbaiki ranking dunia dengan menghuni sekurang-kurangnya kedudukan 140.

Sementara itu jurulatih Myanmar, Zeise gembira membantu pasukannya ke separuh akhir buat kali pertama sejak 2004.

“Kami layak menang. Kami boleh matikan permainan pada babak pertama namun tidak melakukannya," katanya.