Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu juga mengakui, sejak awal dia tidak meletakkan harapan yang tinggi untuk Malaysia menang dalam perlawanan menentang Hong Kong kelmarin, bukan sahaja kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain, malah sedar pemain kita tidak memiliki ‘mentaliti kemenangan’.

Katanya lagi, lebih separuh daripada pemain senior juga sudah tidak ada hati menyarung jersi kebangsaan dan peluang Malaysia melayakkan diri ke Piala Asia 2019 hampir tertutup gara-gara kekalahan 2-0 di Hong Kong.

“Ada pemain yang terpaksa pergi kerana dipanggil dan sebenarnya mereka tak nak ada di situ. Mungkin lebih 50 peratus pemain senior. Saya mahu perubahan yang drastik tapi anda perlukan masa, tak boleh esok terus dapat keputusan.

“Secara realistik, pasukan ini akan terus mencatat kekalahan, seri, kalau menang bagus. Pasukan ini tak akan menang sehingga kita mencari pemain yang betul-betul 100 peratus nak main dan kita juga perlu menukar DNA.

“Dalam bola sepak kita ramai orang yang hipokrit sehinggakan ada sesetengah pemain saya tanya, kenapa kamu tidak mahu bermain untuk skuad kebangsaan dia jawab ‘Tak naklah Tunku, Kita main mati-matian pun, kita kalah dia bahan kita gila-gila’. Pemain main pun fobia, tiada penyokong di belakang,” katanya ketika menjawab soalan yang diajukan oleh ahli panel dalam sesi soal jawab di JDT Cafe, malam tadi.

Kegagalan Malaysia mencatat kemenangan selepas tiga perlawanan meletakkan pasukan negara di tangga tercorot dalam kempen kelayakan Kumpulan B, sekali gus menyempitkan peluang untuk beraksi di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu juga menegaskan, secara realistik Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk membentuk pasukan yang benar-benar mantap dengan pemain yang mendapat pendidikan terbaik dalam bola sepak.

Ditanya mengenai jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada, Tunku Ismail menegaskan, adalah mustahil buat jurulatih dari Portugal itu dapat membuat perubahan dalam tempoh yang singkat dan memecatnya daripada mengendalikan Harimau Malaya bukan keputusan yang tepat.

“Jika esok Vingada dipecat, anda akan tetap mempunyai masalah yang sama. Realitinya, masa tubuhkan kelab (Johor Darul Ta’zim), kami memerlukan dua ke tiga tahun untuk menerapkan mentaliti meraih kemenangan.

“Jadi apa yang anda jangka untuk kami (FAM) buat dalam masa dua tiga bulan?,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE