Kekalahan di Stadium I-Mobile hari ini menyebabkan Harimau Malaya kekal di tangga tercorot Kumpulan B, manakala Nelo Vingada buntu mencari kemenangan pertama selepas membimbing skuad negara dalam tujuh perlawanan.

Malaysia yang memulakan aksi tanpa seorang pun pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) bagaikan tidak belajar daripada kesilapan perlawanan pertama yang berkesudahan tewas 1-4, Jumaat lalu apabila membenarkan lawan mengambil kesempatan dalam situasi bola mati.

Pintu gol Harimau Malaya yang diketuai Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy dibolosi dua kali dalam tempoh lima minit selepas Kim Yu Song meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-15 selepas memanfaatkan bola sepakan sudut rakan sepasukan, Jong Il Gwan dari sebelah kanan.

Lima minit kemudian, gawang Malaysia bocor lagi, namun kali ini dari sebelah kiri apabila Yu Song mudah menolak bola untuk jaringan kedua peribadinya.

Sebelum tamat babak pertama, penyerang berusia 22 tahun itu melengkapkan hatrik apabila mudah menolak bola dalam kotak penalti selepas menerima hantaran lintang rakan sepasukannya, Kim Yong Il.

Bersambung babak kedua, Vingada membuat dua pertukaran dengan memasukkan Safiq Rahim menggantikan Ahmad Khairil Anuar Zambri, manakala Fadhli Shas mengambil alih posisi bek tengah daripada Kiko Insa.

Pertukaran itu tidak memberi banyak impak buat pasukan negara, sebaliknya pintu gol Malaysia bolos kali keempat ketika saingan berbaki 11 minit untuk ditamatkan, kali ini menerusi Pak Kwang Ryong.

Penyerang muda, Safawi Rasid menghadiahkan gol saguhati Malaysia ketika saingan tinggal lima minit untuk ditamatkan.

Walaupun mempunyai baki satu perlawanan menentang Le­banon pada tahun depan, namun ia tidak memberi makna kerana Malaysia sudah tersingkir. – Utusan